Anjing menjadi perhatian sepanjang minggu ini gara-gara
penganjuran program I Want To Touch A Dog yang bukan saja bercanggah dengan
hukum Allah, malah turut mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat di
negara ini, khususnya umat Islam.
Program kontroversi itu juga menyaksikan pelbagai jenis
ustaz tampil mengemukakan pandangan dengan mengambil pendapat ringan daripada
Mazhab Maliki. Kecelaruan jelas berlaku dalam umat Islam di Malaysia berhubung
isu ini. Apa pun pendapat, hujah mahupun alasan, dalam konteks Malaysia, kita
berpegang teguh kepada mazhab Shafii seperti termaktub dalam enakmen syariah
negeri.
Mari kita fahami pencerahan ringkas mengenai salah faham
terhadap fatwa Imam al-Ramli mengenai hukum menyentuh najis yang kononnya
diselewengkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan menggunakan
fatwa itu terkeluar daripada konteks yang dimaksudkan.
JAKIM sudah menjelaskan hukum menyentuh najis (tadammukh)
tanpa darurat atau keperluan yang diizinkan syarak adalah haram. Kenyataan ini
berdasarkan fatwa yang diputuskan oleh seorang ulama besar mazhab al-Shafii
iaitu Imam al- Ramli seperti yang termaktub dalam karya ulungnya Nihayah Al-Muhtaj
1/185. Kata beliau: "Menyentuh (atau meletakkan najis) pada anggota badan
atau pakaian adalah haram (tadammukh bil-najasah wa huwa haram)."
JAKIM dikatakan meluaskan kalam Imam al-Ramli ini kepada
anjing yang merupakan najis berat, sedangkan ulama muktabar itu membahaskan isu
air yang bernajis. Persoalannya, benarkah fatwa Imam al-Ramli itu terhad kepada
perbahasan air dan tiada kaitan dengan anjing? Dinukilkan beberapa petikan
daripada kitab fiqah muktabar mazhab al-Shafii selain daripada karya Imam al-Ramli
yang menyabitkan apa yang difatwakan oleh beliau merupakan kaedah umum Furu'
Fiqh Shafii yang mencakupi semua kategori najis.
Sentuh najis tanpa darurat
Sebelum itu, perlu ditegaskan bahawa pengharaman menyentuh
najis tanpa darurat selaras dengan kaedah fiqh yang berbunyi: "Perkara
yang membawa kepada haram, maka ia juga adalah haram." Dalam hal ini, kita
temui fatwa Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami yang menegaskan: "Seperti wajib
menutup aurat di luar solat, maka haram juga menyentuh najis di luar solat."
(fatwa Fiqhiyyah Al-Kubra, 4/47). Hukum yang sama diguna pakai terhadap periuk
tanah yang diperbuat daripada unsur najis (Tuhfah Al-Muhtaj, 1/499). Begitu
juga Syeikh al-Dimyati yang memasukkan air kencing dalam kerangka tadammukh
tadi (I'anah Al-Talibin, 1/101).
Imam Al-Bujayrimi pula meluaskan tadammukh kepada arak yang
merupakan najis mutawasitah (Hashiyah Al-Bujayrimi, 12/331). Lebih jelas lagi
ialah fatwa Syeikh Khatib Al- Shirbini di dalam Al-Iqna' 1/220 senada dengan
apa yang dinaqalkan oleh Imam al-Ramli tadi: "Manakala darah seperti
anjing dan babi, tidak dimaafkan walaupun sedikit daripadanya kerana
kedua-duanya najis berat, seperti yang dijelaskan dalam (kitab) Al-Bayan,
dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam Al-Majmuk dan beliau memperakuinya.
Hukum lumur darah haram
Begitu juga, seseorang yang mengambil darah orang lain, lalu
melumurkan dirinya iaitu badannya atau pakaiannya (dengan darah tadi), maka
(najis darah itu) sedikit pun tidak dimaafkan daripadanya disebabkan lumuran
darah yang melampau.
Ia kerana meletakkan (menyentuh) najis adalah haram."
Syeikh Khatib Al-Shirbini tidak mengehadkan konsep tadammukh kepada air saja
tetapi memuatkan betapa najisnya darah dalam perkara itu. Syeikh Khatib
al-Shirbini juga menyebut mengenai najis darah anjing dan babi. Ini membuktikan
ulama berkenaan meluaskan takrif tadammukh kepada anjing dan babi.
Oleh yang demikian, pengharaman menyentuh najis tanpa
darurat tidak terhad kepada permasalahan air saja, bahkan ia membabitkan najis
secara umum. Semua kenyataan ulama aliran al-Shafii ini membuktikan bahawa
konsep menyentuh najis dengan sengaja tanpa darurat berlaku secara umum
mencakupi semua jenis najis dan tidak terhad kepada air yang bernajis seperti
didakwa.
Jika fatwa ulama ini diperhalusi, jelaslah bahawa
pengharaman tadammukh merujuk kepada perbuatan menyentuh najis secara sia-sia,
seperti suka-suka menyentuh tanpa sebab yang mendesak atau keperluan diizinkan
syarak. Dalam hal ini, hukum mengenai pengharaman terhadap sifat najis haiwan
itu sudah jelas, bahkan mazhab yang diamalkan di negara ini juga sudah jelas.
Anjing dianggap najis berat adalah pendapat jumhur ulama, sedangkan Mazhab
Maliki ada pendapat terpencil.
Untuk umat Islam di negara ini, berpegang teguh kepada
Mazhab Shafii dan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah adalah sangat dituntut kerana
pada masa ini, umat Islam di negara kita sedang diasak dengan pelbagai serangan
fahaman bertentangan pegangan umat Islam. Jangan mudah mengikut sesuatu fahaman
yang kabur kerana kelak ia akan menyesatkan kita.
Persoalannya, kenapa perlu dianjurkan program menyentuh
anjing, kenapa teringin sangat untuk membela anjing, sedangkan masih banyak
lagi haiwan 'halal' yang boleh dibela dan disayangi. Usahlah melakukan perkara
yang boleh menimbulkan fitnah kepada agama dan menjejaskan imej Islam.

Orang ramai yang beragama Islam datang ke 'I Want To Touch A
Dog' untuk mendekati dan menyentuh anjing di Central Park One Utama. -Foto
Rosela Ismail