Blogroll

Monday, May 5, 2014

GST halang peniaga tipu pelanggan

  • Dr Amir Hussin Baharuddin Dr Amir Hussin Baharuddin - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
1 / 1
KUALA LUMPUR - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 dapat menghalang peniaga daripada mengelak membayar cukai atau memindahkan cukai itu kepada pembeli.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, melalui GST, pengilang, pemborong atau peruncit boleh dikatakan tidak ada ruang untuk menipu atau cuba memindahkan cukai tersebut kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Ini kerana setiap peniagaan yang merekodkan keuntungan RM500,000 dan ke atas hasil jualan setahun wajib mendaftar, dan mereka perlu mengisytiharkan keuntungan dan jualan diperoleh syarikat.

“Malahan mereka turut menikmati rebat dan pulangan ke atas cukai yang dikenakan terhadap pengilang, pemborong dan peruncit. Jadi tiada sebab mereka boleh menaikkan harga barangan," katanya.

Menurut beliau, jika pengguna atau pembeli merasakan harga yang dikenakan tidak munasabah atau terlalu tinggi, mereka perlu membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk diambil tindakan ke atas peniaga tersebut.

Namun begitu kata Amir Hussin, sekiranya pelaksanaan GST boleh memudaratkan rakyat, cukai tersebut boleh dimansuhkan.

“Jika (kadar cukai) enam peratus tidak sesuai, ia juga boleh dikurangkan mungkin kepada tiga peratus, sebagai contoh,” katanya.

Beliau baru-baru ini bersama Jabatan Kastam memberi penerangan kepada kira-kira 300 orang mengenai GST dan menurut beliau, ternyata penjelasan itu diterima baik.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Tidak ada sebab. Pelaksanaan GST tidak akan mengetepikan kepentingan rakyat. Bahkan ia lebih baik berbanding cukai sedia ada,” katanya.

Dengar penjelasan dari sumber betul
Beliau berkata, rakyat harus mendengar penjelasan mengenai GST dari sumber  betul untuk faham apa itu GST, bagaimana ia dilaksanakan dan jenis perniagaan yang terlibat secara langsung dengan sistem tersebut.
Menurutnya, GST bukanlah sistem percukaian yang membebankan rakyat.

Amir Hussin berkata, GST wajar dilaksanakan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, selepas ia mula-mula sekali diusul pada 1989 dan tertangguh sehingga 2013.

"Cukai jualan dan perkhidmatan dikenakan sekarang, antara enam hingga 15 peratus. Sistem cukai inilah ingin dihapuskan dan digantikan dengan satu sistem sahaja iaitu GST atau cukai tunggal.

"Ia sekali gus membolehkan kerajaan menangani kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sistem (GST) ini lebih mudah, telus, mesra perniagaan dan cekap," katanya.

Menurut Amir Hussin, dengan pelaksanaan GST, harga beberapa barangan akan jadi lebih murah berbanding sekarang.

"Selain tidak dikenakan ke atas bahan makanan asas seperti beras, gula dan tepung serta bekalan air paip, perkhidmatan seperti pengangkutan, tol lebuh raya, pelajaran serta perkhidmatan kesihatan turut dikecualikan daripada GST,” katanya.

Beliau berkata, GST juga tidak dikenakan ke atas perkhidmatan disediakan kerajaan dan 200 unit pertama bekalan elektrik sebulan untuk pelanggan domestik.

Selain itu, jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih turut dikecualikan daripada GST.

Penjelasan GST belum mencukupi

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PricewaterhouseCoopers Taxation Services, R S Raja Kumaran berkata, promosi dan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai GST oleh kerajaan harus ditingkatkan.

“Apa dilakukan sekarang (iklan dan sebagainya) tidak cukup beri penjelasan sebenar kepada masyarakat dan ia perlu di tambah baik.

“Kerajaan harus membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam memastikan golongan ini tidak terkesan dengan pelaksanaan GST. (Tetapi) jika GST memberi impak sekali pun ia mungkin dalam peratusan yang terlalu kecil,” katanya.

Menurut Kumaran, GST harus dilaksanakan bagi memastikan sistem cukai lebih efektif.

“Meskipun GST dikatakan bakal menaikkan harga rumah, kerajaan menerusi jalan penyelesaian telah memperkenalkan pelbagai projek rumah mampu milik seperti Perumahan Rakyat 1 Malaysia bagi memastikan golongan berpendapatan rendah juga mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Kumaran tidak menafikan pengenalan GST akan memberi kesan terhadap inflasi namun beliau mencadangkan kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan agar tidak terkena tempias akibat pelaksanaan cukai tersebut.

Obama terharu layanan baik, mesra Malaysia

  • Barack Obama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama setibanya di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang bagi rangka lawatan ke ibu negara selama tiga hari bermula hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
KUALA LUMPUR - Walaupun hanya sempat berada selama tiga hari di negara ini, namun Presiden Amerika Barack Obama amat terharu dengan layanan istimewa yang beliau terima daripada Malaysia serta terpikat dengan keramahan dan kemesraan rakyatnya.
  
Perkara ini dinyatakan Duta Besar Amerika di Malaysia Joseph Y Yun pada perjumpaan meja bulat dengan media di kedutaan Amerika di sini hari ini, dan menurut beliau, Obama meninggalkan Malaysia dengan membawa kenangan manis yang begitu berkesan di hatinya.
  
"Sepeninggalan beliau, Obama meminta saya menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), yang katanya seorang tuan rumah yang amat berhemah serta kepada beberapa menteri, termasuk (Menteri Luar Datuk Seri) Anifah Aman, (Menteri Belia dan Sukan) Khairy Jamaluddin, yang juga menteri pengiring, yang memainkan peranan besar dalam kunjungan beliau itu.
  
"Beliau begitu bersungguh-sungguh meminta saya menyampaikannya (ucapan terima kasih) kepada tuan rumah atas layanan mesra serta budi baik mereka sepanjang lawatan itu. Obama sungguh terharu dengan sambutan yang diberi kepadanya ke mana sahaja beliau pergi oleh rakyat Malaysia, pelajar di Universiti Malaya, usahawan muda di Cyberjaya dan para pemimpin masyarakat sivil," katanya.
  
Lawatan rasmi bermula 26 April ke negara Asia Tenggara yang mempunyai 30 juta penduduk ini - sebahagian daripada rangka kunjungan Obama ke empat negara Asia - merupakan kunjungan pertama presiden Amerika ke negara ini sejak 48 tahun lepas, setelah kali terakhir dilakukan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Yun berkata Obama terharu apabila melihat orang ramai sangggup menunggu untuk melihat kelibat presiden Amerika itu di laluan yang digunakannya ketika berada di negara ini.
  
Menurut Yun, beliau berpendapat Obama dan Najib mempunyai hubungan yang amat baik serta begitu serasi antara satu dengan lain, seolah-olah dua sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.
 
 "Mereka sudah banyak kali bertemu di pentas pelbagai hala serta dua hala dan apabila saya melihat mereka berinteraksi dengan baik, barulah saya menyedari bahawa mereka sememangnya mengenali satu sama lain dengan baik dan oleh itu, tidak perlulah saya memberi sebarang taklimat kepada presiden," katanya sambil menjelaskan bahawa kunjungan Obama ke negara ini amat berjaya.
  
Menurut beliau, secara peribadi, banyak yang diketahui Obama tentang Malaysia dan inilah yang menyebabkan beliau sentiasa berasa selesa dari segi hubungan, yang ingin beliau pertingkatkan antara Amerika dan rantau ini.
  
"Sejarah peribadi beliau amat bermakna, sebagai contoh, pada majlis jamuan negara, beliau mengimbau kisah lampau perihal ibunya yang gemar mengumpul kain batik serta iparnya dari sebelah Indonesia yang merupakan rakyat Malaysia.

"Malah, pada majlis jamuan tengah hari dua hala di Seri Perdana, Obama memberitahu orang ramai cara sebenarnya untuk menyediakan nasi goreng yang enak. Beliau juga bergurau tentang durian, yang pernah beliau cuba makan beberapa kali, tetapi bukanlah buah kegemarannya," kata Yun.
  
Beliau berkata, melalui hubungan persahabatan unik yang terjalin antara Obama dan Najib, kedua-dua pemimpin itu dapat membawa hubungan Amerika dan Malaysia ke peringkat perkongsian komprehensif melalui peningkatan kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan banyak lagi.
  
Menjelaskan tentang Program Pengecualian Visa Amerika, Yun berkata Malaysia perlu memenuhi syarat yang terkandung dalam undang-undang dan peraturan negaranya, termasuk kadar sekatan visa perlulah kira-kira tiga peratus, kewajipan Malaysia melaporkan kepada Interpol tentang pasport yang dicuri atau hilang dan pertukaran data tentang pengganas dan penjenayah.
 
"Walaupun Malaysia sudah memenuhi beberapa syarat seperti penyediaan pasport yang mampu dibaca mesin, membenarkan rakyat Amerika memasuki negara ini tanpa visa serta beberapa kemajuan lain, namun ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum layak menikmati program itu," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk mengadakan perundingan dan taklimat teknikal berkaitan urusan membuat penilaian tentang program itu.
  
Rakyat negara yang disenaraikan di bawah program pengecualian visa itu dibenarkan berkunjung dan tinggal di Amerika bagi tempoh maksimum 90 hari.
 
Kadar penafian visa Malaysia kekal sebanyak lima peratus.
  
Mengenai giliran Malaysia yang akan menjadi pengerusi Asean pada 2015, Yun berkata Amerika menunggunya dengan penuh minat dari segi diplomatik dan ekonomi serta bersedia memberi sumbangan besar berkaitan hala tuju Asean dan hasratnya untuk menjadi satu lagi gergasi serantau.
  
"Amerika sentiasa menyokong Asean sebagai sebuah kumpulan negara dan sebab itulah kami menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur serta menawarkan bantuan teknikal kepada Asean mengenai pasaran tunggal, isu tenaga. Ia memberi peluang kepada Amerika untuk melakar banyak kemajuan dalam pelbagai perkara," katanya. - Bernama

Salam terakhir

Kuala Terengganu: “Dia bersalam dan minta maaf dengan ahli keluarga sebelum keluar rumah. Tidak sangka itu salaman terakhirnya,” kata Zaimah Ismail, 65, ibu Rohaiza Yusof, 35, yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Kampung Sungai Ikan, di sini, semalam.

Kejadian jam 10.45 pagi di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu itu dipercayai berlaku selepas pemandu lori tanah dari arah Setiu menuju Kuala Terengganu, bertembung dengan kereta Perodua MyVi dipandu Rohaiza selepas gagal memotong sebuah kenderaan di depannya.

Kejadian itu menyebabkan pemandu lori tanah berkenaan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar sebuah lagi Perodua MyVi dan van Toyota Hiace sebelum terjunam ke dalam gaung tiga meter di tepi jalan.

Pemandu lori tanah berkenaan Mohd Ghani Embong, 44, dan Rohaiza yang tersepit di tempat pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian.
FotoLORI milik Mohd Ghani diangkat menggunakan jentolak.

Pemandu sebuah lagi Perodua Myvi yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, manakala pemandu serta tiga penumpang van terbabit selamat.

Zaimah yang tinggal di Kampung Kelulut, Marang, berkata, anaknya yang bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor baru pulang bercuti Khamis lalu dan bertolak ke Kota Bharu pagi semalam untuk menghadiri kursus.

Menurutnya, sebelum keluar dari rumah, anak kelapan daripada 10 beradik itu bersalaman serta meminta maaf dengannya serta ahli keluarga lain.

Merajuk ditegur anak

Jitra: Hanya kerana merajuk dengan teguran anak, seorang wanita warga emas keluar dari rumahnya di Kampung Pulau Nyior, Jalan Kodiang, di sini, dan masih gagal dikesan ahli keluarganya sejak seminggu lalu.
Kehilangan Zaiton Mat, 56, disedari anak perempuan sulungnya, Zawiyah Teh, 34, ketika pulang dari tempat kerja jam 2 petang pada 30 April lalu apabila mendapati ibunya tiada dalam bilik.
Zawiyah berkata, ibunya tinggal bersama selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu, malah kesihatannya ibunya juga terganggu disebabkan faktor usia.
Katanya, dia percaya ibunya merajuk akibat terkilan selepas tindakan adiknya, Siti Asmah, 24, yang lembam menegur disebabkan memakai kasut dalam rumah hingga keadaan berpasir.
“Mungkin disebabkan itu hati ibu tersentuh dan keluar dari rumah kerana sebelum ini kami tidak pernah berselisih faham dengannya.
“Puas kami mencarinya di sekitar kampung termasuk rumah sanak saudara, tetapi gagal mengesannya lalu membuat laporan kehilangan di Balai Polis Jitra jam 9.30 malam pada hari sama,” katanya, semalam.
Zawiyah berkata, lebih membimbangkan apabila ibunya tidak membawa MyKad, malah turut memakai rantai leher emas bernilai RM2,000.
Katanya, mereka sekeluarga bimbang keselamatan ibunya kerana warga emas itu mudah lupa selain tidak ingat jalan untuk pulang.
“Sebelum ini dia pernah keluar rumah dengan menunggang basikal sehingga ke Perlis, tetapi mujur ada orang menghantarnya pulang ke rumah berdasarkan alamat pada Mykad,” katanya.
Dia berharap orang ramai yang ternampak ibunya menghubungi mereka di talian 011-5348172 (Zaini), 019-4105685 (Sha), 019-4985089 (Yah) dan 012-4176040 (Nana).

FotoZAWIYAH menunjukkan poster mencari ibunya yang hilang.

ta di bengkel bertukar besi buruk

Kuala Kubu Bharu: Percutian pasangan suami isteri warga India di Air Terjun Sungai Chiling di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas dan tersangkut pada batu petang kelmarin.

Difahamkan, mayat wanita dikenali sebagai Kedrthana Karahali Anandatpa, 22, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang oleh suaminya pada jam 8.45 malam kelmarin.

Cuaca gelap selain faktor muka bumi menyebabkan usaha membawa keluar mayat mangsa mengalami sedikit kesukaran dan mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke kawasan selamat.

Suami mangsa dikenali sebagai Umis, 20-an, bagaimanapun dilaporkan selamat manakala mayat isterinya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
FotoKEDRTHANA berkemungkinan tergelincir sebelum dihanyutkan arus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Penolong Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang untuk bermandi-manda di air terjun itu bersama suaminya, kira-kira jam 1 tengah hari petang kelmarin.

“Ketika sedang mandi di lokasi kejadian, kita tidak menolak kemungkinan mangsa tergelincir atau berada di kawasan dalam hingga menyebabkannya tenggelam dan lemas sebelum dihanyutkan arus,” katanya.

Aziz Sattar meninggal dunia

Kuala Lumpur: Seniman negara, Datuk Abdul Aziz Sattar atau lebih dikenali sebagai Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, kira-kira jam 2 pagi tadi.
Menurut anak perempuannya Sandakiah Aziz, turut berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhirnya adalah dua anak, menantu dan cucu.

Katanya, jenazah akan dibawa ke kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan dikebumikan sebelum Zohor di Tanah Perkuburan Islam di Cheras Perdana.

Seluruh ahli keluarga dan saudara termasuk dari Johor dan Singapura dijangka tiba pagi ini untuk membantu menguruskan jenazah Allahyarham.
Foto

Pelakon veteran itu dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Kajang akibat sakit jantung, malam kelmarin.