Blogroll

Tuesday, May 6, 2014

Mati hidu asap ekzos van

Kuala Lumpur: Seorang jurukimpal lelaki ditemui mati dalam keadaan misteri di dalam van selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida secara berlebihan di Kampung Cheras Baru di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 40-an yang berpakaian lengkap ditemui rakannya terbaring di dalam van Nissan Vannete itu, kira-kira jam 8 pagi.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berada di dalam van terbabit dan pihak ambulans kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, mayat lelaki tempatan yang masih bujang itu dibawa keluar daripada van berkenaan pada jam 8.30 pagi. “Pihak bomba tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dalam tempoh empat jam sebelum dia ditemui. “Satu hos turut ditemui di dalam kenderaan berkenaan yang disalurkan daripada lubang ekzos dipercayai untuk dihidu lelaki terbabit,” katanya. Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian itu.

FotoMANGSA ditemui lengkap berpakaian.

Hatyai bergegar

Songkhla (Selatan Thailand): Pusat bandar Hatyai di sini digegarkan dengan dua letupan bom sekitar jam 2 petang waktu tempatan, semalam.
Dalam kejadian itu, seramai lapan cedera termasuk dua anggota polis Thailand, dan enam orang awam.

Sumber berkata, kedua-dua bom berkenaan yang diletupkan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam dan kawasan letak kereta di hadapan Balai Polis Hatyai itu tidak diletupkan serentak sebaliknya diletupkan selang beberapa minit selepas letupan pertama.

 “Letupan pertama kira-kira jam 2 petang merosakkan bahagian depan kedai serbaneka di Jalan Phonphichai berhadapan Kolej Teknologi Chunkgolpaktai.

“Selang beberapa minit, letupan kedua dilaporkan berlaku di dalam kawasan tempat letak kereta Balai Polis Hatyai,” katanya.

Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla ketika dihubungi mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan membabitkan rakyat Malaysia dilaporkan sehingga petang semalam.

Ibu kaku di tempat duduk

Jasin: “Perodua Kenari itu berpusing beberapa kali lalu terseret sejauh 30 meter dan terhenti selepas merempuh pagar rumah penduduk,” kata saksi kemalangan yang mengorbankan seorang ibu tunggal di jalan Kelubi-Jasin, di sini, semalam.

Supardi Sohot, 67 berkata, dia bersama beberapa pelanggan yang berada di kedai makan berhampiran terus meluru ke arah mangsa bagi menghulurkan bantuan.

 “Kami berlari ke arah kenderaan yang terbabit dan mendapati seorang daripada tiga lelaki menaiki Proton Saga BLM parah dan tidak sedarkan diri.

“Sebaik menghampiri Perodua Kenari, saya nampak seorang wanita yang parah di kepala dan badan kaku tidak bergerak di tempat duduk pemandu,” katanya, di sini, semalam.
FotoKENDERAAN Norhayati (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.35 pagi, Norhayati Othman, 47, dari FELDA Bukit Sedanan, di sini, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas Perodua Kenari dipandunya terbabit kemalangan dengan Proton Saga BLM dipandu lelaki berusia 20-an.


Makmal Sekolah meletup

Petaling Jaya: “Saya dengar bunyi letupan kecil sebelum terhidu bau bahan kimia ketika berada di dalam kelas yang terletak bersebelahan makmal itu,” kata seorang pelajar tingkatan tiga berhubung kejadian tumpahan bahan kimia di sebuah makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, di sini, semalam.
Pelajar yang enggan namanya didedahkan itu mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika semua pelajar sedang menjalani peperiksaan pertengahan tahun.

 “Makmal berkenaan tidak digunakan ketika itu oleh pelajar dan kemungkinan hanya pembantu makmal atau guru saja yang berada di dalam makmal.

“Saya dengar bunyi kaca terhempas di lantai dan pecah disusuli letupan kecil sebelum terbau bahan kimia. Kami kemudiannya diarahkan keluar segera dari kelas dan berkumpul di tempat selamat,” katanya.
FotoPELAJAR terpaksa pulang awal bagi mengelak komplikasi kesihatan.

Katanya, peperiksaan terpaksa dihentikan kerana pasukan keselamatan bimbang tumpahan kimia itu mengancam keselamatan guru dan pelajar.


Penculik bawa pusing 3 jam

Kuala Lumpur: “Selepas dipaksa masuk ke dalam kereta, kepala saya ditutup dengan kain, tangan diikat dengan wayar sebelum seorang daripada mereka menekan mata pisau ke perut saya.”
Itu pengalaman dilalui seorang penyelia kedai barangan kesihatan dan kecantikan yang diculik selama tiga jam sebelum wang tunai lebih RM23,000 dibawanya untuk dimasukkan ke bank, dilarikan dua lelaki, kelmarin.
Mohd Haizeri Mohd Mokhtar, 32, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika dia berjalan kaki menuju ke bank yang terletak kira-kira 500 meter dari pejabatnya sambil membawa beg galas berisi wang tunai itu.

“Sebaik tiba di satu kawasan meletak kenderaan berhadapan sebuah pasar raya, seorang lelaki tiba-tiba keluar dari kereta Perodua Kenari dan menarik saya masuk ke dalam kenderaan itu.
FotoMOHD Haizeri menunjukkan kecederaan dialami.


“Saya tidak sempat melawan kerana lelaki itu dengan pantas menutup kepala saya dengan kain sebelum mengikat tangan saya dengan wayar,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Indonesia ciplak drama Korea

  • Indonesia ciplak drama Korea
1 / 1
SINETRON Kau Yang Berasal Dari Bintang yang diterajui Morgan dan Nikita Willy dikatakan menciplak drama popular Korea, Man From The Stars yang dibintangi Kim Soo Hyun dan Jun Ji Hyun.

Menerusi portal Soompi, pihak SBS yang memiliki hak penayangan menjelaskan mereka tidak menandatangani sebarang kontrak bagi versi Indonesia.

"Drama tersebut ditayangkan tanpa kebenaran pihak SBS dan ia boleh dikategorikan menciplak karya drama Korea.

"Pihak kami akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini," ujar wakil SBS.

Sinetron itu baharu saja ditayangkan di RCTI mulai 28 April lalu.

Usaha mencari mangsa lemas diteruskan

  • Usaha mencari mangsa diteruskan Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa dengan melibatkan unit skuba dan juga unit K9, semalam.
1 / 1
BENTONG - Masuk hari keempat, usaha mengesan seorang remaja berbangsa Cina yang dikhuatiri lemas di air terjun Sungai Gapoi, Telemong, Karak, Jumaat lalu masih lagi diteruskan.

Ketua Polis Daerah, Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kali ini, selain melibatkan unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, operasi turut menggunakan kekuatan enam anggota unit skuba Pasukan Polis Marin (PPM).

“Unit skuba bomba dan PPM turun membuat carian pada jam 10.30 pagi tadi di lokasi air terjun terbabit,” katanya.

Tambahnya, cuaca pada hari ini baik dan air juga jernih sekali gus memberi harapan cerah untuk menemui mangsa berbanding hari sebelumnya.

“Unit anjing pengesan  (K9) bomba dan polis masih giat mengesan kedudukan mangsa di sekitar lokasi kejadian dan di sepanjang Sungai Gapoi. Hasil carian akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Menurutnya, hari ini,  seramai seorang pegawai dan 14 anggota polis termasuk enam anggota unit skuba Marin PDRM dan dua anggota serta dua ekor anjing pengesan terlibat dalam operasi terbabit.

“Selain itu, turut terlibat dalam operasi hari ini ialah seorang pegawai bersama 14 anggota polis termasuk enam anggota PPM serta dua anggota dari unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat, lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), lima anggota Sukarelawan Bomba dan Penyelamat dan 10 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya.
Mangsa, Sean Ng, 15, dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, dipercayai lemas ketika mandi sungai di air terjun Sungai Gapoi, di sini sekitar jam 3 petang Jumaat lalu.

Mangsa datang ke air terjun terbabit bersama 11 lagi rakannya di mana pada pukul 3 petang hari terbabit mangsa masuk ke dalam air bersama kumpulan pertama seramai lapan orang dan mangsa tidak timbul sehingga kini.

Warga emas maut dihempap traktor

  • Warga emas maut dihempap traktor Beberapa penduduk melihat traktor dinaiki mangsa yang tenggelam di dalam tali air. Gambar kecil: Arshad
1 / 1
BAGAN SERAI - Seorang pesara kerajaan maut selepas traktor dinaiki terbabas ke dalam tali air sebelum menghempapnya dalam kejadian di Kampung Parit Haji Napis, di sini semalam.

Pada kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa, Arshad Mokhtar, 62, bersama anak sulungnya, Mohd Irman, 37, baru selesai memungut dan menghantar sawit dari ladang diusahakannya ke pusat membeli sawit berdekatan.

Mohd Irman berkata, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Parit Haji Napis, di sini, dia yang menunggang motosikal meminta izin mangsa untuk pulang dahulu, sementara bapanya menyusul kemudian dengan menaiki traktor.

Menurutnya, 15 minit selepas dia tiba di rumah, Mohd Irman menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung yang mendakwa terlihat sebuah traktor milik bapa terjatuh ke dalam tali air.

“Saya bergegas meminta bantuan rakan anggota Komuniti Keselamatan Komunikasi Kerian (4K) untuk menjejaki traktor milik bapa saya.

"Kami menjumpai traktor itu di dalam tali air selepas operasi pencarian dijalankan setengah jam kemudian,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Hospital Parit Buntar, di sini semalam.

Hadir menziarahi jenazah mangsa, Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan dan Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Mohd Irman berkata, sebaik sahaja traktor milik bapanya ditemui di jalan ban menghubungkan Parit Haji Napis dan Parit Haji Amin, dia mendapati mangsa lemas di dalam tali air akibat dihempap jentera terbabit.

Jelasnya, dengan bantuan penduduk dan anggota 4K, mereka berjaya mengeluarkan mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Parit Buntar menggunakan kenderaan awam.

“Bagaimanapun, ayah menemui ajal sewaktu dalam perjalanan ke hospital akibat lemas.

“Berdasarkan keterangan saksi, saya tidak menolak kemungkinan traktor dipandu arwah ayah terbabas di dalam tali air sebelum menghempap tubuhnya,” katanya.

Mohd Irman berkata, jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Mahyuddin, Batu 5 pada jam 5 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Bicara kes saman Anwar terhadap Syed Hamid 23 Jun

  • mahkamah
1 / 1
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 Jun depan untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung penyiaran satu artikel dalam sebuah akhbar.
 
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam K.Muralidharan yang mewakili Anwar dan Peguam Kanan Persekutuan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail bagi pihak Syed Hamid.
  
Murali memaklumkan pemberita bahawa pihaknya akan mengemukakan sebanyak lima saksi manakala pihak defendan akan mengemukakan seorang saksi iaitu Syed Hamid.
   
Anwar memfailkan saman menamakan Syed Hamid sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia defendan kedua selepas mendakwa bekas menteri itu mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen pada 2 Julai 2008, dan kenyataan berkenaan diterbitkan The Star bertarikh 3 Julai 2008.
  
Anwar mendakwa artikel itu menunjukkan beliau seorang pengkhianat, tidak setia kepada negara, agama dan bangsa serta seorang yang tidak boleh dipercayai.
  
Selain RM100 juta, beliau menuntut ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. - Bernama

Tidak berbaloi ambil pemain import wakili Malaysia


  • Annuar Musa Tan Sri Annuar Musa
1 / 2
PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak berbaloi bagi negara mengambil pemain import untuk mewakili Malaysia semata-mata kerana mengidamkan kejayaan peringkat antarabangsa.
     
Katanya, dasar Jabatan Imigresen dan Persekutuan Badan Induk Bola Sepak Dunia (Fifa) juga jelas bahawa tiada pemain import boleh bermain untuk Malaysia.
     
"Dasar kita jelas tidak boleh menerima dua kerakyatan. Bagi Fifa pula pemain yang mewakili negara asal tidak oleh bermain untuk negara lain," kata Annuar mengulas cadangan supaya Malaysia mengambil pemain import untuk memperkuat cabaran negara di persada antarabangsa.
     
Annuar yang juga ahli Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara ditemui selepas merasmikan Arked Kayang milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kangar, semalam.
     
Beliau berkata, pemain import hanya boleh mewakili negara selepas melalui tempoh lima tahun (bertenang) namun masih ada beberapa syarat lain seperti pemberian status warganegara atau penduduk tetap yang perlu diambil kira.

"Pemain import rata-rata berumur 25 tahun ke atas. Selepas tamat cooling off period mereka sudah tua kerana proses mendapatkan kerakyatan mengambil masa panjang. Nak ambil pemain remaja (import) pula ibu bapa mereka menjadi halangan.
     
"Yang terbaik dan relevan sekali ialah melatih bakat-bakat muda melalui perancangan jangka panjang dan dilaksanakan dengan sistematik serta menambah baik Liga Malaysia," kata Annuar.
     
Beliau bagaimanapun mengalukan-alukan hasrat pemain import yang mahu mewakili Malaysia.
     
Katanya lagi, walaupun Malaysia pernah mendapat khidmat atlet jalan kaki Yuan Yu Fang dari China dan angkat berat Hidayat (Indonesia) dalam menghadapi Sukan Komanwel, perkara itu tidak akan berlaku dalam bola sepak.
     
Menurut Annuar, dalam bola sepak ada peraturan tambahan yang menghalang seseorang itu mewakili negara, sehingga memenuhi syarat Fifa. - Bernama

Sewa rahim di India beri pulangan lumayan

  • Sewa rahim di India beri pulangan lumayan
1 / 1
SIAPA sangka perkhidmatan ibu tumpang kini menjadi industri komersial paling menguntungkan di India walaupun dikritik banyak pihak kerana dianggap sebagai kegiatan mengeksploitasi wanita miskin di negara itu.

Semakin ramai pasangan dari luar India terutamanya dari Barat tertarik dengan ‘perkhidmatan’ tersebut kerana kosnya  jauh lebih murah selain peraturan dan undang-undang yang longgar di negara terbabit.

Bayaran dikenakan untuk melakukan proses persenyawaan in-vitro (IVF) itu adalah kira-kira AS$20,000 (RM65,300) berbanding AS$50,000 (RM163,300) jika dilakukan di Amerika Syarikat (AS).

Isu besar membabitkan soal etika mula timbul selepas golongan kaya didakwa mengambil kesempatan terhadap wanita miskin di India bagi mendapatkan zuriat untuk mereka hingga menyebabkan negara itu digelar sebagai ‘kilang bayi’ pada masa ini.

Tahun lalu, New Delhi bertindak mengenakan peraturan melarang pasangan homoseksual dan individu belum berkahwin mendapatkan perkhidmatan tersebut selepas undang-undang negara itu membenarkan prosedur itu pada 2002.

Sehingga kini, tiada angka rasmi berhubung jumlah sebenar hasil diperoleh daripada industri itu.

Bagaimanapun, hasil laporan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, perkhidmatan ibu tumpang di India mampu menjana hasil keuntungan secara anggaran AS$2.5 bilion (RM8 bilion) pada setiap tahun.

Pada masa ini, lebih 3,000 pusat ibu tumpang sedang beroperasi dan ribuan bayi telah dilahirkan hasil daripada prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) yang semakin popular di India.

Kesemua pusat terbabit turut menyediakan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh kehamilan tersebut selain memberi panduan untuk persediaan mental selepas bersalin.

Lagi bayi lahir, hasil seludup sperma

  • Lagi bayi lahir, hasil seludup sperma Suad Samir Abu Fayer memangku anak perempuannya, Hurryah yang baru berusia beberapa hari.
1 / 1
TEBING BARAT - Seorang lagi wanita melahirkan anak perempuan hasil sperma suaminya yang diseludup keluar dari penjara Israel.

Menurut Dr Salem Abu Khaizaran di Klinik Razan, kira-kira 15 bayi dilahirkan melalui prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) sejak kejayaan proses itu pertama kali dicipta di Tebing Barat pada Ogos 2012.

"Tujuan kaedah seperti itu digunakan adalah untuk membantu isteri tahanan yang berhasrat mempunyai zuriat walaupun suami mereka tiada di sisi.

"Kos melakukan prosedur IVF biasanya mencecah antara AS$2,000 (RM6,500) dan AS$3,000 (RM9,800). Tetapi, kami menawarkan ia secara percuma kepada isteri tahanan atas sebab kemanusiaan," katanya.

Difahamkan, penyeludupan sperma tersebut juga dilakukan dalam pelbagai cara tanpa diketahui pihak berkuasa penjara Israel.

Sementara itu, media Arab News melaporkan, enam wanita yang menjalani prosedur sama di Gaza juga bakal bergelar ibu dalam tempoh beberapa bulan lagi.

PELAKON Azean Irdawaty meninggal dunia


  • Azean Irdawaty
1 / 1
[DIKEMASKINI] PRIMODANA  filem Melayu, Azean Irdawaty, 63 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya Selangor malam ini.

Allahyarham menderita sejak lima tahun lalu akibat penyakit tumor dan lymphedema yang dihidapinya.

Difahamkan, pelakon itu meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam di depan suaminya. Khairil Anwar dan juga anak-anak.

Ini disahkan oleh Pengarang hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah atau dikenali sebagai Kak Cham menerusi Twitternya sebentar tadi.

"Kita pasti merindui dia. Alfatihah seniwati Azean Irdawati yang kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Alfatihah," katanya.

Pemergian Azean turut mendapat reaksi daripada beberapa rakan artis yang mengucapkan takziah antaranya adalah Umie Aida.

Allahyarham merupakan pelakon yang mula mencipta nama sebagai penyanyi pada era 70-an dan namanya meledak di layar perak akhir 70-an setelah membintangi filem Esok Masih Ada arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Di layar perak, Azean merupakan pemenang sebanyak dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia pada tahun 1980 menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada tahun 1982.

Allahyarhamah cukup dikenali menerusi watak Auntie Zai lakonan terbaiknya dalam filem Layar Lara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Menerusi watak Tok Wan dalam filem Waris Jari Hantu, sekali lagi Allahyarhamah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada 2008.

Filem terakhir lakonannya ialah menerusi filem terakhir arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime pada tahun 2009.

Selain filem, Allahyarham turut dikenali di skrin televisyen antaranya drama Aishah 50 Sen, Ratu Jamu, Kembali dan Najihah.

Allahyarham meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

2 lelaki ditahan tak sampai 30 minit selepas ragut

KEPALA BATAS - Dua lelaki yang aktif menjalankan kegiatan ragut di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, ditahan tidak sampai 30 minit selepas meragut seorang wanita, di Jalan Bertam Indah di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata dua lelaki berusia 25 dan 19 tahun itu ditahan ketika mengira hasil yang disamun mereka di kawasan
hutan di Kampung Permatang Tinggi B pada pukul 11.05 malam.
"Seorang wanita membuat laporan polis memaklumkan dia diragut ketika menunggang motosikal oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal pada pukul 10.40 malam dan bertindak hasil maklumat itu sepasukan anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah menjalankan Ops Rentap.
"Tindakan pantas anggota polis berjaya mengesan dua lelaki itu di kawasan hutan kampung berkenaan dan kami berjaya menahan mereka bersama barang milik mangsa antaranya beg tangan, serangkai kunci, satu unit telefon bimbit dan sejumlah wang tunai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata dua lelaki yang masing-masing bekerja di sebuah pusat karaoke dan restoran makanan segera itu turut mempunyai rekod jenayah lampau serta  positif dadah.
Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua lelaki terbabit aktif melakukan kegiatan ragut sejak tahun lepas untuk membeli dadah dan polis percaya dengan penahanan mereka, sembilan kes ragut yang dilapor di daerah ini berjaya diselesaikan.
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang penjual kereta yang disyaki aktif dalam kegiatan memecah cermin kereta untuk mencuri barang di dalam kenderaan sejak 2001.
Abdul Rahman berkata lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai tujuh rekod jenayah itu ditahan ketika cuba memecahkan cermin sebuah kenderaan milik penduduk sebuah pangsapuri di Bagan Jermal, Butterworth, dekat sini kira-kira pukul 11.05 malam, 25 April.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui pelbagai barang yang dipercayai dicuri daripada dalam kereta mangsa antaranya beg baju berjenama, komputer riba, tablet, telefon bimbit, surat pajak gadai dan jam tangan," katanya.
Beliau berkata susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan di rumah teman wanita lelaki terbabit di Bagan Jermal dan menemui pelbagai barang dipercayai hasil curi antaranya empat kamera digital, set kayu golf, pelbagai jenis beg berjenama serta surat pajak gadai.
Katanya nilai keseluruhan rampasan termasuk nilai barang kemas yang digadai ialah RM20,000. - Bernama

Datuk Aziz Satar meninggal dunia

  • Aziz Sattar Aziz Sattar
1 / 1
PELAKON veteran, Datuk Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang pada kira-kira jam 2 pagi tadi.
Memetik laporan sebuah media, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu.

Allahyarham dilaporkan dimasukkan ke hospital sejak kelmarin selepas diserang penyakit jantung.

Jenazah yang akan dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sebaik dibenarkan pihak hospital dan urusan pengebumian dijangka dilakukan pagi ini.

Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin popular menerusi filem Seniman Bujang Lapok.