Blogroll

Monday, May 5, 2014

Merajuk ditegur anak

Jitra: Hanya kerana merajuk dengan teguran anak, seorang wanita warga emas keluar dari rumahnya di Kampung Pulau Nyior, Jalan Kodiang, di sini, dan masih gagal dikesan ahli keluarganya sejak seminggu lalu.
Kehilangan Zaiton Mat, 56, disedari anak perempuan sulungnya, Zawiyah Teh, 34, ketika pulang dari tempat kerja jam 2 petang pada 30 April lalu apabila mendapati ibunya tiada dalam bilik.
Zawiyah berkata, ibunya tinggal bersama selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu, malah kesihatannya ibunya juga terganggu disebabkan faktor usia.
Katanya, dia percaya ibunya merajuk akibat terkilan selepas tindakan adiknya, Siti Asmah, 24, yang lembam menegur disebabkan memakai kasut dalam rumah hingga keadaan berpasir.
“Mungkin disebabkan itu hati ibu tersentuh dan keluar dari rumah kerana sebelum ini kami tidak pernah berselisih faham dengannya.
“Puas kami mencarinya di sekitar kampung termasuk rumah sanak saudara, tetapi gagal mengesannya lalu membuat laporan kehilangan di Balai Polis Jitra jam 9.30 malam pada hari sama,” katanya, semalam.
Zawiyah berkata, lebih membimbangkan apabila ibunya tidak membawa MyKad, malah turut memakai rantai leher emas bernilai RM2,000.
Katanya, mereka sekeluarga bimbang keselamatan ibunya kerana warga emas itu mudah lupa selain tidak ingat jalan untuk pulang.
“Sebelum ini dia pernah keluar rumah dengan menunggang basikal sehingga ke Perlis, tetapi mujur ada orang menghantarnya pulang ke rumah berdasarkan alamat pada Mykad,” katanya.
Dia berharap orang ramai yang ternampak ibunya menghubungi mereka di talian 011-5348172 (Zaini), 019-4105685 (Sha), 019-4985089 (Yah) dan 012-4176040 (Nana).

FotoZAWIYAH menunjukkan poster mencari ibunya yang hilang.

0 comments:

Post a Comment