Blogroll

Tuesday, November 11, 2014

SASAR HOTEL MEWAH EDAR DADAH WARGA NIGERIA









Kuala Lumpur:
 Kumpulan sindiket pengedaran dadah didalangi warga Nigeria kini dipercayai mensasarkan hotel mewah bertaraf empat bintang sekitar ibu negara untuk mengedar dan menjual bahan terlarang itu kepada pelanggan.
Difahamkan, kumpulan sindiket itu memperoleh barangan terlarang berkenaan dari Nigeria sebelum dipasarkan ke negara ini melalui 'orang tengah'.
Menurut sumber, modus operandi kumpulan itu adalah mereka akan menghubungi pelanggan terlebih dulu berhubung jenis dadah yang dimahukan sebelum memberitahu lokasi iaitu hotel mewah sekitar ibu negara untuk menyerahkan barang terbabit.
"Kumpulan itu mensasarkan lokasi terbabit bagi mengelak dikesan orang awam dan pihak berkuasa.
"Pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ekstasi, heroin dan Eramin 5 yang diperoleh dari luar negara itu dipercayai dijual dengan harga serendah RM100 bergantung kepada jenis dadah.
"Dadah jenis Methamphetamine membabitkan batu kristal dipercayai turut mendapat permintaan paling tinggi," kata sumber itu.
Tambah sumber itu, sindiket yang sudah bergiat aktif lebih dua tahun itu dipercayai mensasarkan Lembah Klang untuk pasaran pelbagai jenis dadah itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, sisatan pihaknya mendapati sudah menjadi trend apabila kumpulan sindiket dadah warga Nigeria itu mensasarkan bandar untuk menjalankan kegiatan mereka.
"Pihak kami mengenal pasti bukan saja di Malaysia tetapi juga berlaku di negara lain termasuk Indonesia, Filiphina, Thailand dan sebagainya.
"Kumpulan itu akan mendapatkan 'orang tengah' yang arif mengenai sesuatu bandar di sesebuah negara itu, begitu juga di negara ini.
"Pihak kami akan mempergiat usaha untuk mengesan sekali gus menumpaskan kumpulan sindiket warga Nigeria daripada terus berleluasa.
“Hal ini kedapatan kes membabitkan perkara itu di hotel mewah untuk menyembunyikan kegiatan mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, satu sindiket Nigeria juga dikesan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier dari Guangdong, China untuk menyeludup dadah.
Katanya, JSJN Bukit Aman berjaya merampas merampas lapan kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM800,000 daripada empat cubaan penyeludupan dadah disyaki didalangi sindiket tersebut.
"Kali ini sindiket menggunakan komponen alat percetakan, tempat duduk basikal dan katrij mesin pencetak untuk menyorok semua dadah berkenaan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat awam dan kerjasama erat pihak polis dengan syarikat kurier bagi membanteras trend terbaru aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa.
Katanya, pihaknya mendapat maklumat kemungkinan Lapangan Terbang Langkawi, Kedah turut dijadikan sasaran aktiviti penyeludupan selepas lapangan terbang antarabangsa dan lapangan terbang domestik dikawal ketat oleh pihak berkuasa.

0 comments:

Post a Comment