Blogroll

Wednesday, April 16, 2014

10 tabika ‘kering’

Banting: Lebih 10 tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di sekitar Kuala Langat, terus terjejas dengan Pelan Catuan Air yang sudah dilaksanakan sejak dua bulan lalu.

Difahamkan, murid tabika yang terjejas terpaksa membawa sebotol air setiap hari untuk kegunaan sendiri jika mahu membuang air dan membasuh tangan berikutan bekalan air yang masih belum pulih.

 Penyelia Perhubungan KEMAS Kuala Langat Hisham Talib berkata, antara tabika yang terbabit adalah Tabika Kemas Permata Hatiku Batu Tujuh Sijangkang, Kampung Medan, Taman Sri Medan dan Telok Panglima Garang.

“Setiap dua hari sekali, bekalan air akan terputus menyebabkan pengurusan tabika meminta ibu bapa membekalkan anak mereka dengan sebotol air untuk kegunaan sendiri.
FotoKANAK-kanak di sebuah tabika di Batu Tujuh Sijangkang masing-masing membawa sebotol air ke sekolah untuk kegunaan sendiri.

“Pihak pengurusan pula akan menadah air bagi memastikan kegunaan untuk tabika berkenaan seperti memasak dan membasuh peralatan makanan serta memasak mencukupi,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Katanya, tidak dinafikan kadang kala jadual catuan melebihi dua hari mungkin kerana faktor yang tidak diketahui, sekali gus menyebabkan operasi harian tabika turut terjejas.

“Pihak KEMAS ada juga menerima aduan ada di antara murid yang tidak datang ke tabika kerana tidak dapat mandi ekoran masalah gangguan air yang masih berlarutan di daerah ini.

“Namun masalah itu tidak menjadi penghalang pengurusan tabika untuk meneruskan aktiviti persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela Tabika yang ingin dikenali Siti, 56, berkata, tabika berkenaan sememangnya terbabit dengan masalah catuan air berkenaan.

“Kami terpaksa mengarahkan murid untuk membawa sebotol air setiap hari untuk digunakan oleh mereka sendiri kerana ketiadaan bekalan air.

“Air itu yang digunakan untuk membasuh tangan dan juga jika mereka ingin membuang air. Namun kesukaran lebih terasa kerana ketiadaan tangki air di tabika berkenaan menyukarkan mereka menakung air dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan harian,” katanya.

0 comments:

Post a Comment