TEMERLOH - Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menahan seorang pengedar dadah dan merampas 202.55 gram dadah pelbagai jenis dalam serbuan ‘Ops Tapis’ jam 5.15 petang kelmarin di tempat letak kereta sebuah resort di Mentakab.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, semasa pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berusia 57 tahun itu, polis menemui 101.70 gram dadah jenis syabu yang disimpan dalam beg berwarna hitam.
Menurutnya, turut ditemui dalam beg yang sama ialah dadah jenis heroin seberat 22 gram, 200 biji pil eramin 5 seberat 59.20 gram dan 172 biji pil kuda.
“Turut dirampas ialah botol yang diubahsuai disyaki alat untuk menghisap dadah dan hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek turut mempunyai empat rekod jenayah lampau di bawah kesalahan narkotik.
“Dia disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama yang boleh membawa hukuman penjara dan sebatan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Zundin berkata, suspek yang dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadah untuk pasaran Mentakab dan Temerloh itu direman sehingga 24 Julai depan.
Beliau berkata, kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM24,500 di mana setiap biji eramin 5 berharga RM20 dan pil kuda berharga RM40 sebiji.
0 comments:
Post a Comment