Pesakit Tampil Beri Kenyataan | Ekoran
beberapa pesakit yang mendakwa menerima layanan buruk daripada doktor di
dua buah hospital kerajaan di Pulau Pinang tampil bagi membuktikan
kejadian itu memang berlaku.
Adun Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin berkata penampilan
pesakit-pesakit itu bagi membuktikan apa yang beliau bangkitkan semasa
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini adalah benar.
“Hari ini saya tampil untuk membuktikan dan tunjukkan kebenaran tentang
aduan daripada rakyat kepada saya, saya hendak mereka (mangsa) sendiri
cakap kerana mereka yang terkena.
“Saya bukan hanya cakap kosong atau mengada-adakan cerita dalan DUN, ini
tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk membantu penduduk di
kawasan saya, dan saya tidak mahu orang lain menerima nasib yang sama,”
katanya pada sidang akhbar Kepala Batas Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan Negeri Dr Afif Bahardin yang mahu Roslan meminta
maaf secara terbuka kepada para doktor di seluruh negara ekoran dakwaan
terdapat doktor yang bersikap rasis.
Bernama melaporkan Roslan berkata kini Dr Afif pula harus meminta maaf
kepada penduduk yang menerima layanan buruk itu dan jika gagal berbuat
demikian adalah lebih baik beliau meletak jawatan sebagai pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan negeri.
“Saya juga mahu kementerian menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan
sewajarnya kepada doktor terlibat, ini perkara yang serius. Setakat ini
saya terima enam aduan daripada orang ramai melibatkan lima di Hospital
Kepala Batas (HKB) dan satu di Hospital Seberang Jaya (HSJ)” katanya.
Seorang warga emas yang hadir, Hamid Salleh, 66, berkata kejadian
berlaku pada bulan Jun lepas apabila seorang doktor lelaki di bahagian
kecemasan HKB telah memaki hamun beliau.
“Anak pakcik hantar ke hospital kerana keadaan kesihatan pakcik yang
makin teruk, semasa di wad kecemasan, doktor itu telah memaki hamun
termasuk kata bodoh kepada pakcik.
“Pakcik akui salah pakcik kerana tidak makan ubat tetapi bukan begitu
caranya dengan maki hamun, sedangkan pakcik lebih tua daripadanya. Dia
langsung tidak ada rasa hormat,” katanya yang menghidap sakit jantung,
asma, darah tinggi dan kencing manis.
Seorang lagi yang ditampilkan Roslan, Syahida Saad, 27, yang tinggal di
Kepala Batas berkata pada 28 Mei lepas beliau ke HSJ berikutan besi yang
terdapat dalam pahanya patah, bagaimanapun seorang daripada doktor di
hospital berkenaan enggan mengeluarkan besi itu, dan hanya menyuruhnya
pulang.
Beliau sedih dengan kejadian itu kerana katanya besi itu dimasukkan ke
dalam pahanya kerana terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan
nyawa suaminya pada 7 Nov tahun lepas.
“Saya kecewa dengan tindakan doktor lelaki itu, dia suruh balik dan siap
maklumkan kalau masih boleh jalan tidak perlu buang besi itu sedangkan
dalam masa itu saya tidak boleh jalan dan menanggung kesakitan.
“Saya minta bantuan Datuk Roslan dan adukan perkara itu kepadanya
sebelum pihak HSJ memanggil saya semula keesokannya untuk menjalankan
pembedahan membuang besi,” katanya.
Suri rumah Mariani Mansor, 22, pula menceritakan anak perempuannya
berusia empat bulan mengalami sesak nafas akibat batuk yang teruk pada
21 Jun lepas tetapi seorang doktor lelaki yang berada di wad kecemasan
di HKB memarahinya tanpa sebab dan menyuruhnya pulang tanpa memberikan
rawatan.
“Doktor itu cakap, saya bukan Tuhan untuk menyembuhkan anak kamu,
lagipun tidak teruk ini…pergilah klinik swasta…sedangkan muka anak saya
ketika itu sudah kebiruan kerana sesak nafas,” katanya.
Datuk Roslan Saidin pula berkata, beliau meminta EXCO Pertanian dan
Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif
Bahardin meminta maaf kerana menuduhnya berbohong ketika sidang DUN
lalu. “Sebagai wakil rakyat saya hanya mendedahkan aduan rakyat yang
diterima dan bukannya bercakap kosong atau mengadakan cerita. Saya juga
bukan rasis,” katanya.
Dalam pada itu Dr Afif Bahardin dilaporkan enggan memohon maaf,
katanya, “Saya tidak perlu minta maaf, biar siasatan dijalankan dan jika
benar dakwaan itu seharusnya doktor terbabit yang minta maaf,” kata
EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan
Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin.
Menurutnya, beliau percaya doktor terbabit bukan bersikap perkauman,
tetapi masalah itu lebih kepada berlakunya salah faham.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment