KEPALA BATAS - Dua lelaki yang aktif menjalankan kegiatan ragut di
sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, ditahan tidak sampai
30 minit selepas meragut seorang wanita, di Jalan Bertam Indah di sini
Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata
dua lelaki berusia 25 dan 19 tahun itu ditahan ketika mengira hasil yang
disamun mereka di kawasan
hutan di Kampung Permatang Tinggi B pada pukul 11.05 malam.
"Seorang wanita membuat laporan polis memaklumkan dia diragut ketika
menunggang motosikal oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal pada
pukul 10.40 malam dan bertindak hasil maklumat itu sepasukan anggota
polis yang membuat rondaan cegah jenayah menjalankan Ops Rentap.
"Tindakan pantas anggota polis berjaya mengesan dua lelaki itu di
kawasan hutan kampung berkenaan dan kami berjaya menahan mereka bersama
barang milik mangsa antaranya beg tangan, serangkai kunci, satu unit
telefon bimbit dan sejumlah wang tunai," katanya pada sidang akhbar di
sini hari ini.
Beliau berkata dua lelaki yang masing-masing bekerja di sebuah pusat
karaoke dan restoran makanan segera itu turut mempunyai rekod jenayah
lampau serta positif dadah.
Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua lelaki terbabit aktif
melakukan kegiatan ragut sejak tahun lepas untuk membeli dadah dan polis
percaya dengan penahanan mereka, sembilan kes ragut yang dilapor di
daerah ini berjaya diselesaikan.
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang penjual kereta yang
disyaki aktif dalam kegiatan memecah cermin kereta untuk mencuri barang
di dalam kenderaan sejak 2001.
Abdul Rahman berkata lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai tujuh rekod
jenayah itu ditahan ketika cuba memecahkan cermin sebuah kenderaan
milik penduduk sebuah pangsapuri di Bagan Jermal, Butterworth, dekat
sini kira-kira pukul 11.05 malam, 25 April.
"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui pelbagai
barang yang dipercayai dicuri daripada dalam kereta mangsa antaranya beg
baju berjenama, komputer riba, tablet, telefon bimbit, surat pajak
gadai dan jam tangan," katanya.
Beliau berkata susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan di rumah
teman wanita lelaki terbabit di Bagan Jermal dan menemui pelbagai barang
dipercayai hasil curi antaranya empat kamera digital, set kayu golf,
pelbagai jenis beg berjenama serta surat pajak gadai.
Katanya nilai keseluruhan rampasan termasuk nilai barang kemas yang digadai ialah RM20,000. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment