• Usaha mencari mangsa diteruskan Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa dengan melibatkan unit skuba dan juga unit K9, semalam.
1 / 1
BENTONG - Masuk hari keempat, usaha mengesan seorang remaja berbangsa Cina yang dikhuatiri lemas di air terjun Sungai Gapoi, Telemong, Karak, Jumaat lalu masih lagi diteruskan.

Ketua Polis Daerah, Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kali ini, selain melibatkan unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, operasi turut menggunakan kekuatan enam anggota unit skuba Pasukan Polis Marin (PPM).

“Unit skuba bomba dan PPM turun membuat carian pada jam 10.30 pagi tadi di lokasi air terjun terbabit,” katanya.

Tambahnya, cuaca pada hari ini baik dan air juga jernih sekali gus memberi harapan cerah untuk menemui mangsa berbanding hari sebelumnya.

“Unit anjing pengesan  (K9) bomba dan polis masih giat mengesan kedudukan mangsa di sekitar lokasi kejadian dan di sepanjang Sungai Gapoi. Hasil carian akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Menurutnya, hari ini,  seramai seorang pegawai dan 14 anggota polis termasuk enam anggota unit skuba Marin PDRM dan dua anggota serta dua ekor anjing pengesan terlibat dalam operasi terbabit.

“Selain itu, turut terlibat dalam operasi hari ini ialah seorang pegawai bersama 14 anggota polis termasuk enam anggota PPM serta dua anggota dari unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat, lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), lima anggota Sukarelawan Bomba dan Penyelamat dan 10 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya.
Mangsa, Sean Ng, 15, dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, dipercayai lemas ketika mandi sungai di air terjun Sungai Gapoi, di sini sekitar jam 3 petang Jumaat lalu.

Mangsa datang ke air terjun terbabit bersama 11 lagi rakannya di mana pada pukul 3 petang hari terbabit mangsa masuk ke dalam air bersama kumpulan pertama seramai lapan orang dan mangsa tidak timbul sehingga kini.