-
Beberapa penduduk melihat traktor dinaiki mangsa yang tenggelam di dalam tali air. Gambar kecil: Arshad
Pada kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa, Arshad Mokhtar, 62, bersama anak sulungnya, Mohd Irman, 37, baru selesai memungut dan menghantar sawit dari ladang diusahakannya ke pusat membeli sawit berdekatan.
Mohd Irman berkata, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Parit Haji Napis, di sini, dia yang menunggang motosikal meminta izin mangsa untuk pulang dahulu, sementara bapanya menyusul kemudian dengan menaiki traktor.
Menurutnya, 15 minit selepas dia tiba di rumah, Mohd Irman menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung yang mendakwa terlihat sebuah traktor milik bapa terjatuh ke dalam tali air.
“Saya bergegas meminta bantuan rakan anggota Komuniti Keselamatan Komunikasi Kerian (4K) untuk menjejaki traktor milik bapa saya.
"Kami menjumpai traktor itu di dalam tali air selepas operasi pencarian dijalankan setengah jam kemudian,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Hospital Parit Buntar, di sini semalam.
Hadir menziarahi jenazah mangsa, Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan dan Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.
Mohd Irman berkata, sebaik sahaja traktor milik bapanya ditemui di jalan ban menghubungkan Parit Haji Napis dan Parit Haji Amin, dia mendapati mangsa lemas di dalam tali air akibat dihempap jentera terbabit.
Jelasnya, dengan bantuan penduduk dan anggota 4K, mereka berjaya mengeluarkan mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Parit Buntar menggunakan kenderaan awam.
“Bagaimanapun, ayah menemui ajal sewaktu dalam perjalanan ke hospital akibat lemas.
“Berdasarkan keterangan saksi, saya tidak menolak kemungkinan traktor dipandu arwah ayah terbabas di dalam tali air sebelum menghempap tubuhnya,” katanya.
Mohd Irman berkata, jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Mahyuddin, Batu 5 pada jam 5 petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
0 comments:
Post a Comment