-
Dr Amir Hussin Baharuddin - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
KUALA LUMPUR - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan
dilaksanakan pada 1 April 2015 dapat menghalang peniaga daripada
mengelak membayar cukai atau memindahkan cukai itu kepada pembeli.
Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan,
Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin
berkata, melalui GST, pengilang, pemborong atau peruncit boleh dikatakan
tidak ada ruang untuk menipu atau cuba memindahkan cukai tersebut
kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.
“Ini kerana setiap peniagaan yang merekodkan keuntungan RM500,000 dan
ke atas hasil jualan setahun wajib mendaftar, dan mereka perlu
mengisytiharkan keuntungan dan jualan diperoleh syarikat.
“Malahan mereka turut menikmati rebat dan pulangan ke atas cukai yang
dikenakan terhadap pengilang, pemborong dan peruncit. Jadi tiada sebab
mereka boleh menaikkan harga barangan," katanya.
Menurut beliau, jika pengguna atau pembeli merasakan harga yang
dikenakan tidak munasabah atau terlalu tinggi, mereka perlu membuat
aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan untuk diambil tindakan ke atas peniaga tersebut.
Namun begitu kata Amir Hussin, sekiranya pelaksanaan GST boleh memudaratkan rakyat, cukai tersebut boleh dimansuhkan.
“Jika (kadar cukai) enam peratus tidak sesuai, ia juga boleh dikurangkan mungkin kepada tiga peratus, sebagai contoh,” katanya.
Beliau baru-baru ini bersama Jabatan Kastam memberi penerangan kepada
kira-kira 300 orang mengenai GST dan menurut beliau, ternyata penjelasan
itu diterima baik.
“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Tidak ada sebab. Pelaksanaan GST
tidak akan mengetepikan kepentingan rakyat. Bahkan ia lebih baik
berbanding cukai sedia ada,” katanya.
Dengar penjelasan dari sumber betul
Beliau berkata, rakyat harus mendengar penjelasan mengenai GST dari
sumber betul untuk faham apa itu GST, bagaimana ia dilaksanakan dan
jenis perniagaan yang terlibat secara langsung dengan sistem tersebut.
Menurutnya, GST bukanlah sistem percukaian yang membebankan rakyat.
Amir Hussin berkata, GST wajar dilaksanakan bagi menggantikan cukai
jualan dan perkhidmatan sedia ada, selepas ia mula-mula sekali diusul
pada 1989 dan tertangguh sehingga 2013.
"Cukai jualan dan perkhidmatan dikenakan sekarang, antara enam hingga
15 peratus. Sistem cukai inilah ingin dihapuskan dan digantikan dengan
satu sistem sahaja iaitu GST atau cukai tunggal.
"Ia sekali gus membolehkan kerajaan menangani kelemahan dalam sistem
percukaian sedia ada. Sistem (GST) ini lebih mudah, telus, mesra
perniagaan dan cekap," katanya.
Menurut Amir Hussin, dengan pelaksanaan GST, harga beberapa barangan akan jadi lebih murah berbanding sekarang.
"Selain tidak dikenakan ke atas bahan makanan asas seperti beras, gula
dan tepung serta bekalan air paip, perkhidmatan seperti pengangkutan,
tol lebuh raya, pelajaran serta perkhidmatan kesihatan turut
dikecualikan daripada GST,” katanya.
Beliau berkata, GST juga tidak dikenakan ke atas perkhidmatan
disediakan kerajaan dan 200 unit pertama bekalan elektrik sebulan untuk
pelanggan domestik.
Selain itu, jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih turut dikecualikan daripada GST.
Penjelasan GST belum mencukupi
Sementara itu, Pengarah Eksekutif PricewaterhouseCoopers Taxation
Services, R S Raja Kumaran berkata, promosi dan kempen kesedaran bagi
mendidik masyarakat mengenai GST oleh kerajaan harus ditingkatkan.
“Apa dilakukan sekarang (iklan dan sebagainya) tidak cukup beri
penjelasan sebenar kepada masyarakat dan ia perlu di tambah baik.
“Kerajaan harus membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana
dalam memastikan golongan ini tidak terkesan dengan pelaksanaan GST.
(Tetapi) jika GST memberi impak sekali pun ia mungkin dalam peratusan
yang terlalu kecil,” katanya.
Menurut Kumaran, GST harus dilaksanakan bagi memastikan sistem cukai lebih efektif.
“Meskipun GST dikatakan bakal menaikkan harga rumah, kerajaan menerusi
jalan penyelesaian telah memperkenalkan pelbagai projek rumah mampu
milik seperti Perumahan Rakyat 1 Malaysia bagi memastikan golongan
berpendapatan rendah juga mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Kumaran tidak menafikan pengenalan GST akan memberi kesan terhadap
inflasi namun beliau mencadangkan kerajaan membantu golongan kurang
berkemampuan agar tidak terkena tempias akibat pelaksanaan cukai
tersebut.