PETALING JAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun mati
akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih
lima jam dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang
Jaya, di sini semalam.
Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui
oleh ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan
sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kanak-kanak itu
ditinggalkan di dalam kereta dengan kesemua tingkap ditutup dan enjin
dimatikan sejak pukul 11 pagi sebelum ibunya kembali ke kereta itu pada
pukul 5.30 petang.
Ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang guru terlupa mengenai anak
bongsunya yang sepatutnya dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak sebelum
dia ke sekolah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sebelum ke sekolah, wanita itu menghantar adiknya ke
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
"Setelah habis tugasan si ibu pergi ke kereta pada 5.30 petang dan
terkejut melihat muka Nawal Iris kebiruan, bibirnya pucat serta ada
kesan muntah dan najis kanak-kanak itu di dalam kereta berkenaan,"
katanya.
Yahaya berkata menyedari keadaan anaknya yang tidak bergerak, wanita
berkenaan segera membawa anaknya ke klinik swasta berdekatan di USJ4,
Subang Jaya, di sini dan doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah
meninggal dunia.
Beliau berkata laporan bedah siasat oleh Hospital Serdang yang diperoleh
tengah hari ini mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia kerana
'heat stroke'.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Hospital Serdang mendapati suasana
pilu menyelubungi bilik mayat apabila lebih 30 ahli keluarga kanak-kanak
itu hadir menunggu proses bedah siasat selesai.
Ibu kanak-kanak itu yang menangis teresak-esak serta ahli keluarganya
enggan ditemu bual wartawan.
Polis mengesahkan jenazah kanak-kanak itu dikebumikan selepas solat Asar
di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, di sini, hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment