Ngeri! Lelaki Kena Sembelih
Dalam Pondok Di Hulu Selangor |
Belum lagi reda tentang isu
tetak di Batang Kali Selangor, kini muncul pula satu berita tentang kes
pembunuhan
melibatkan dua orang lelaki di Hulu Selangor.
Apa yang menyedihkan, pembunuhan ini dilakukan dengan kejam sekali
apabila mayat ditemui dalam keadaan yang menyayat hati. Leher
mereka dikelar sehingga mengeluarkan banyak darah.
Bagaimanapun, motif pembunuhan ini masih lagi dalam siasatan pihak
polis.
HULU SELANGOR – “Muka dia (arwah) senyum
saja bila mencuba baju Melayu yang pak cik belikan, kelmarin.
Dia kata, pakai baju ni selesa tapi
seluar panjang sikit, katanya dia nak potong nanti,” kata Omar Puteh,
64, menceritakan keceriaan arwah anaknya, Muhamad Hafiz Omar, 29,
sebelum ditemui meninggal dunia bersama rakannya, Hamsi Hashim, 48,
dalam kebun kelapa sawit di Jalan Baru, di sini.
Omar berkata, dia membelikan
baju Melayu untuk arwah anaknya kerana kebetulan jualan murah dan boleh
digunakan menyambut Aidilfitri nanti.
Bagaimanapun, dia reda setelah
menerima khabar anak kesembilannya itu meninggal dunia semalam.
“Pak cik dapat tahu Uda (Mohamad
Hafiz) meninggal dunia selepas membuat laporan polis bersama anak sulung
pak cik (Mohamad Hatta, 48) mengenai penemuan mayat rakannya, Hamsi.
“Tapi sebelum itu, Hatta dah pergi
lihat pondok itu tapi dia tidak jumpa arwah Uda sebab dia dalam pondok.
Hatta cuma nampak arwah Hamsi,” katanya ketika ditemui di tempat
kejadian semalam.
Menurutnya, sebelum penemuan kedua-dua
mayat tersebut, saudaranya dikenali sebagai Pak Musa datang ke
rumahnya, kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian, dengan membawa
MyKad, lesen memandu dan kunci motosikal Mohamad Hafiz.
Katanya, Pak Musa menjumpai
dompet anaknya hanyut di Sungai Bernam, dekat Kuala Slim
kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.
“Saya rasa tak sedap hati dan menyuruh
Hatta cari Uda di pondok itu. Tapi masa itu, Hatta hanya jumpa arwah
Hamsi.
“Hanya selepas polis datang, baru
nampak mayat Uda dalam pondok,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu
Selangor, Deputi Suprintendan Zulkifli Bidin berkata mayat Muhamad Hafiz
dan Hamsi ditemui kira-kira 4.30 petang semalam oleh seorang lelaki
yang melalui kawasan berkenaan.
Mayat Muhamad Hafiz ditemui di
dalam pondok dengan kesan kecederaan di lehernya yang dipercayai akibat
disembelih manakala mayat Hamsi ditemui di luar pondok dalam
keadaan terlentang dengan kesan kecederaan di kepalanya yang dipercayai
akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Kami percaya kedua-dua mereka tinggal
di pondok itu dan merupakan penjaga kebun kelapa sawit tersebut serta
ternakan yang dipelihara di situ,” katanya.
Zulkifli berkata, motif kejadian masih
disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu
diminta tampil bagi membantu siasatan.
Mayat kedua-duanya dihantar ke
Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut
Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, bekas isteri arwah
Hamsi, Rohani Nazir, 41, ketika ditemui berkata, kali terakhir dia
menemui arwah pada Rabu lalu ketika datang melawat dua anak mereka.
Menurutnya, walaupun telah
bercerai setahun lalu, hubungan mereka tetap baik dan arwah masih
menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah.
“Saya baru saja sambut hari lahir anak
kedua saya, Shahrizal Hamsi (adik), 8, tengah hari tadi (semalam)
walaupun tarikh lahirnya, 13 Julai nanti.
“Adik kata dia memang nak bagi kek
pada ayahnya, tapi tidak sempat kerana dia sudah tiada,” katanya.
Rohani bagaimanapun reda di atas
kejadian yang menimpa bekas suaminya. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment