| Baru sahaja melangkah ke dalam bulan
ramadhan, kita dikejutkan dengan satu berita kemalangan
yang membabitkan sebuah bas ekspress dan sebuah lori. Kejadian
dikatakan bermula apabila sebuah lori hilang kawalan dan memasuki jalan
bertentangan. Pada ketika itu sebuah bas ekspress
sedang menyusuri jalan tersebut. Walaupun cubaan pertama untuk
mengelak, kedua-dua kenderaan ini akhirnya bertembung. Ekoran daripada
kejadian terbabit, bas berkenaan difahamkan terhumban ke bawah
tebing di sebelah kanan jalan. Boleh lihat gambar di bawah ini.
DUNGUN – Seorang kelindan lori terpaksa menanggung
derita hampir setengah jam sebelum berjaya diselamatkan setelah
tersepit di tempat duduk hadapan kenderaannya, apabila lori
sayur dipandu rakannya bertembung dengan sebuah bas ekspres.
Kejadian berlaku menjelang waktu sahur,
dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu
dipercayai berlaku apabila sebuah lori sayur dipandu Zaidi Awang Hama,
39, dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
Pada masa sama, sebuah bas ekspres dari
arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dikatakan cuba
mengelak lori yang masuk di laluannya itu menyebabkan bas
ekspres membawa 43 penumpang itu masuk semula ke laluan lori.
Bagaimanapun, lori berkenaan yang dalam
perjalanan untuk menghantar sayur dari Kelantan menuju ke Kuantan
dipercayai masuk semula sebelum bertembung dengan bas terbabit dan
kemudiannya terhumban ke bawah tebing di sebelah kanan jalan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan
Dahlan Mohd Noor berkata, empat daripada 43 penumpang bas ekspres
cedera dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, sementara
39 yang lain tidak cedera.
Beliau berkata, pemandu lori, Zaidi yang
berasal dari Bachok Kelantan hanya cedera ringan, namun rakannya yang
duduk di hadapan, Noor Hisham Zali, 39, cedera parah akibat
tersepit dalam lori yang remuk selepas dirempuh bas.
Kelindan lori yang tersepit itu
bagaimanapun berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat sebelum
dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk
rawatan lanjut.
“Kesemua 43 penumpang bas ekspres
dipandu Tuan Adnan Tuan Aluwi, 48, yang dalam perjalanan dari Kuala
Lumpur menuju ke Kuala Terengganu terselamat.
“Empat penumpang bas yang cedera
ringan hanya menerima rawatan di Unit Pesakit Luar Hospital Dungun
sebelum dibenarkan pulang selepas keadaan mereka dilaporkan stabil,”
katanya.
Katanya, kemalangan diKM 73.5 jalan
Kuala Terengganu-Kuantan pada awal pagi itu menyebabkan lalu lintas
sesak seketika dan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.
“Kita harap pemandu lebih berhati-hati
memandu pada bulan puasa ini dan cuba elakkan daripada memandu dalam
keadaan mengantuk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment