KOTA BHARU - Hasrat sepasang suami isteri untuk membuat kejutan pulang
ke Kampung Padang Jeman, Salor di sini tidak kesampaian apabila mereka
maut selepas bas yang dinaiki terbabas di Km 11, Jalan Bentong-Raub
dekat Bilut tengah malam tadi.
Zarifah Alias, 26, dan suaminya Mohamad Mohamud Abdalla, 31, warga
Somalia mendirikan rumah tangga kira-kira lima bulan lepas dan dikatakan
bercadang pulang ke kampung tanpa pengetahuan keluarga.
Kakak Zarifah, Zalilawati, 42, berkata adiknya ada memberitahu ibunya
dua hari lepas ingin pulang ke kampung tetapi tidak memaklumkan hari dan
waktu mereka akan pulang.
"Saya tidak tahu bila mereka akan pulang kerana mereka kata nak buat
kejutan. Kali terakhir adik pulang ke kampung pada Februari lalu sebab
alahan teruk ketika mengandung dan dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas
untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di
rumahnya, di sini.
Zarifah yang kini hamil lima bulan berhasrat menetap di Australia setelah melahirkan anak sulungnya nanti.
Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu amat
berharap dikurniakan cahaya mata lelaki kerana beliau telah memasang
angan-angan untuk menamakan anaknya 'Bilal'.
"Arwah seorang yang sangat ceria, manja dan paling suka belajar sebab
itulah beliau seorang saja yang belajar jauh dari Malaysia iaitu di
sebuah universiti di Australia dalam bidang Bioteknologi," katanya.
Zarifah yang sedang melanjutkan pelajarannya di peringkat Sarjana
perubatan dalam bidang kanser di Universiti Malaya turut membuat kerja
sambilan sebagai Pembantu Pegawai Penyelidikan di Hospital Sungai Buloh,
Selangor.
Sementara itu, suaminya Mohamad Mohamud Abdalla yang akan bekerja di
Kedutaan Arab Saudi pula sedang melanjutkan pelajaran di peringkat
Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang
pengurusan, berhasrat ingin memberikan tiga biji buah kelapa dari
Somalia kepada bapa mentuanya yang lumpuh apabila pulang ke sini.
Pasangan itu adalah antara tiga mangsa yang maut apabila bas dua
tingkat yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang elektrik
sebelum terbalik di Km 11, Jalan Bentong-Raub berhampiran Bilut.
Sejumlah 68 penumpang yang berada di dalam bas dalam perjalanan dari
arah Kuala Lumpur menghala Kota Baharu dan kesemua mangsa yang terlibat
dalam kemalangan dikejarkan ke Hospital Bentong dan Hospital Raub untuk
mendapatkan rawatan lanjut. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment