Blogroll

Saturday, April 12, 2014

Kejutan ajal

Kota Bharu: “Dia tak beritahu nak balik kerana mahu buat kejutan, tapi tak sangka begini jadinya... dia pula mengandung lima bulan. Maaf, saya tak boleh cakap lagi... sakit dada ni,” rintih Mahni Othman, 72, ibu kepada Zarifah Alias, 27, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub berhampiran Bukit Lebu, dekat sini, tengah malam semalam.
Zarifah antara tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu. Turut meninggal dunia suaminya yang juga warga Somalia Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, dan Suhaisam Che Abdulla, 33, dari Batang Kali, Selangor.

Seramai 10 lagi mangsa dilaporkan parah dan menerima rawatan di Hospital Bentong dan Hospital Temerloh.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Jeman, Salor, di sini, Mahni berjubah hitam dan ditemani saudara-mara masih terkejut serta sedih atas kejadian menimpa anak bongsu dan menantunya.
FotoZARIFAH dan Saeed Mohamad maut dalam nahas di Jalan Bentong-Raub, semalam.

Difahamkan, anak dan menantu Mahni yang meninggal dunia itu membawa bekalan kelapa dari Somalia yang diperoleh Saeed Mohamad ketika melawat keluarganya di sana bulan lalu.

Menurut kakak kedua Zarifah, Zalilawati, 42, pasangan itu tidak memberitahu sesiapa mengenai kepulangan mereka, termasuk ibunya dan ayah Alias Ismail, 72.

“Dia menelefon mak dua hari lalu untuk bertanya khabar dan memaklumkan akan pulang, tetapi tidak menetapkan tarikh kerana mahu membuat kejutan.

“Sebab itu kami sekeluarga tidak tahu mereka sebahagian penumpang bas itu hinggalah jam 6 pagi tadi (semalam) rakan Zarifah datang ke rumah memaklumkan Zarifah dan Saeed terbabit dalam nahas itu.

“Ketika itu, dia hanya memberitahu Saeed yang meninggal dunia. Hanya selepas gagal menghubungi telefon bimbit Zarifah dan meminta saudara mencarinya di rumah mereka di Keramat, Kuala Lumpur baru kami tahu dia juga meninggal dunia selepas menyemak senarai nama mangsa di Hospital Bentong,” katanya.

Menurutnya, Zarifah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan yang kini menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM), manakala Saeed Mohamad penuntut ijazah kedoktoran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus ibu negara dan bakal berkhidmat dengan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Kedua-duanya berkahwin 7 Disember tahun lalu dan menanti kelahiran anak sulung. Bahkan, Zarifah paling teruja dan berharap mendapat cahaya mata lelaki kerana dia ada nama untuk anaknya yang akan dipanggil ‘Bilal’.

“Kami sekeluarga tidak menyangka akan menyambut mereka dengan cara begini. Sedih sangat kerana kami adik-beradik sangat rapat dan dia adik bongsu daripada tujuh beradik serta paling ceria dalam keluarga.

“Dia penghibur kami dan minatnya untuk belajar menyebabkan dia kerap berjauhan dengan kami. Kali terakhir kami berjumpa ketika arwah mengalami alahan teruk Februari lalu, dan dimasukkan ke Hospital Pasir Mas,” katanya.

Jenazah Zarifah dan Saeed Mohamad dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan kampung itu, malam semalam.

0 comments:

Post a Comment