Blogroll

Saturday, April 12, 2014

Mayat remaja lemas ketika mandi ditemui

Machang: Mayat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang lemas ketika mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Besar, Temangan, di sini, kelmarin, ditemui anggota pasukan penyelamat, semalam.

Muhammad Salman Fikri Fauzi dari Kampung Rambai, Tanah Merah, dekat sini, dilapor lemas dipercayai akibat pasir jerlus ketika mandi bersama tiga rakannya sekitar jam 6 petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Machang Asisten Superintendan Loo Lian Lay berkata, pasukan penyelamat disertai anggota polis, anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memulakan operasi sebaik menerima laporan kejadian itu.

“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan semalam (kelmarin) disebabkan cuaca semakin gelap dan ia disambung jam 8 pagi tadi (semalam) sebelum kita menemui mayat mangsa tidak jauh dari tempat kejadian, jam 10 pagi tadi.

“Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

Hasil maklumat awal, mangsa dipercayai turun ke sungai untuk mandi manakala tiga rakannya bermain di kawasan pasir di tebing sungai.

“Sebaik turun dan mandi bersendirian, tiba-tiba dia dilihat terkapai-kapai dan terus tenggelam ke dasar dan gagal diselamatkan kawannya yang cuba membantu.

“Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Temangan, di sini,” katanya.

FotoMAYAT Muhammad Salman Fikri ditemui anggota penyelamat di Sungai Kelantan.

0 comments:

Post a Comment