Shah Alam: “Ibu mana yang tak sayang anak, walaupun dia dilahirkan
tanpa diminta, pengalaman mengandung dan melahirkannya selepas ‘bersama’
selama sembilan bulan nyata membuatkan kasih saya kepadanya tidak
berbelah bagi.
“Walaupun dia dilahirkan sebagai anak luar nikah dan keluarga
terutama ayah tidak dapat menerima kehadirannya saya terpaksa relakan
dia diserahkan kepada keluarga angkat apabila semua proses
dokumentasinya selesai,” kata remaja terlanjur yang ingin dikenali
sebagai Izzati, 22, ketika ditemui di sebuah rumah perlindungan di sini,
baru-baru ini.
Remaja yang berasal dari Puchong ini berkata,
sebaik saja ibu bapanya dimaklumkan doktor yang dia mengandung tujuh
bulan, dia dihantar ke rumah perlindungan bagi mengelakkan berita
mengenai kandungan itu diketahui adik beradik mahupun ahli keluarga lain
terutama jiran.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu,
jika dia mampu mengubah masa silamnya, semua teguran dan nasihat ibunya
pasti dituruti dan kerana kebodohan dirinya yang memberontak gara-gara
dikongkong akhirnya memakan diri sendiri.
Katanya, segalanya
bermula apabila dia melanjutkan pelajaran ke kolej untuknya melarikan
diri jauh daripada keluarga terutama ibu yang sering menjadikan dirinya
tempat melepaskan marah setiap kali adik-adiknya membuat kesalahan.
“Dengan memberikan alasan kerja kursus banyak, saya bebas untuk tidak
pulang ke rumah pada hujung minggu walaupun jarak antara rumah dan kolej
tidak jauh.
Masa yang ada saya keluar bersama teman lelaki.
“Walaupun
baru berkenalan dua bulan, saya tidak sangka yang dia (teman lelaki)
memaksa saya melakukan perbuatan asmara dan akhirnya dia pergi tanpa
alasan munasabah,” katanya yang baru melahirkan anak lelaki awal Mac
lalu.
Izzati berkata, kecewa dengan tindakan bekas teman
lelakinya itu, dia berkawan dengan seorang lagi lelaki lain, namun
nasibnya tetap sama apabila lelaki berkenaan juga mengambil kesempatan
serta memberi jaminan yang dia tidak akan mengandung sebelum
meninggalkannya.
Dia mendakwa, gara-gara takut membeli alat ujian
kehamilan dia tidak sedar yang kandungannya sudah mencecah tujuh bulan
sehinggalah kedua orang tuanya membawanya ke klinik kerana hairan
melihat perubahan pada dirinya.
Menurutnya, selepas dimaklumkan
doktor yang dia mengandung, dunia dirasakan kelam dan apa yang lebih
sedih apabila melihat wajah emak yang kecewa malah ayah ketika itu
seakan orang hilang pertimbangan meraung tidak dapat terima hakikat yang
anaknya mencipta aib buat keluarga.
“Sehingga kini hanya emak
dan ayah yang tahu kisah sebenar dan di mana saya berada, jika
adik-beradik bertanyakan kenapa ‘kakak’ tidak balik, emak memberi alasan
‘kakak’ sibuk dengan kelas dan kerja kursus,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment