Blogroll

Sunday, April 13, 2014

Teguran maut

Gara-gara tidak puas hati ditegur kerana berkelakuan kurang sopan hingga mengganggu ketenteraman awam, sekumpulan samseng jalanan bertindak luar dugaan apabila membelasah lelaki yang menegur mereka hingga mati dalam kejadian di Rumah Murah Sungai Kerpan dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa K Panaselvam, 50, yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia selepas tiga jam dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama anak perempuan berusia 20 tahun serta dua rakannya sedang berbual di depan rumah sebelum didatangi sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta dan motosikal yang membuat bising di depan rumah mangsa dengan membunyikan ekzos kenderaan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, anak perempuan mangsa yang tidak berpuas hati dengan sikap kurang ajar kumpulan itu kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Lipis untuk meminta bantuan.

Menurutnya, kumpulan samseng itu kemudian bergegas meninggalkan tempat kejadian sebaik menyedari kehadiran dua anggota polis peronda yang tiba lima minit kemudian.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit datang semula ke rumah mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki berkenaan dan anaknya menghubungi polis memaklumkan perbuatan mereka membuat bising.

“Ketika berlaku pertengkaran mulut, suspek tiba-tiba membelasah mangsa tanpa belas kasihan menggunakan sebatang kayu sebelum mangsa rebah dalam keadaan berlumuran darah di kepala dan badan.

“Pada masa sama, anak perempuan mangsa bersama dua lagi rakannya tidak mampu membantu kerana bimbang turut dibelasah sebelum suspek bergegas melarikan diri menaiki sebuah kereta dan motosikal,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis sebelum dipindahkan ke HOSHAH untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, susulan kejadian itu, anak mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis.

Katanya, susulan laporan dibuat anak perempuan mangsa, sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu suspek berjaya menahan 12 lelaki berhampiran rumah mangsa selepas dipercayai terbabit dalam kejadian itu, kelmarin.

“Polis masih meneruskan siasatan kes itu bagi mengenal pasti motif sebenar serangan yang mengakibatkan kematian mangsa.

“Suspek direman dua minggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

0 comments:

Post a Comment