• 'Orang kata saya gila' Mohammad Arif menunjukkan kaki kanannya yang rosak.
1 / 1
AYER KEROH - Disebabkan kecacatan kaki kanan yang dialami selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, seorang pemuda terpaksa memakai kasut sebelah berlainan bagi keselesaan kakinya.

Akibat daripada itu, dia sering diejek kononnya kurang siuman oleh orang lain yang langsung tidak mengetahui sejarah kehidupannya.

Mohammad Arif Abdul Rahim, 29, dari Taman Bemban Baru, Jasin berkata, kejadian pada 20 Januari 2008 benar-benar mengubah hidupnya dari seorang yang normal kepada orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya akibat kemalangan itu, dia mengalami patah kaki kanan manakala tiga jari kaki turut hilang.

Katanya, kemalangan itu berlaku, apabila motosikal yang saya tunggangi dilanggar sebuah kereta di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin.

“Pada mulanya, hanya dua jari sahaja tiada tetapi setelah itu doktor kata salur darah yang menyambungkan ibu jari putus sehingga jari kehitaman, akhirnya ia terpaksa dipotong. 

Lebih malang lagi apabila bahagian kaki yang cedera mengalami jangkitan kuman sehingga tapak kaki pembantu sebuah kedai pencetakan itu, terpaksa dibuang.

“Saya ambil masa dua tahun sebelum mampu berjalan. Sebelum itu, pelbagai cara diusaha agar dapat berjalan kembali termasuk menggunakan kasut khas dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi tidak sesuai.

“Untuk berlatih berjalan, mula-mula saya gunakan alas kaki lembut termasuk bantal bagi membantu keseimbangan untuk berdiri. Selain itu, saya cuba guna span dan silikon tetapi masih tidak selesa,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Ada juga pihak mencadangkan agar menggunakan kaki palsu tetapi dia enggan kerana kakinya terpaksa dipotong.

“Lama kelamaan saya temui cara terbaik iaitu alas kapas tebal pada bahagian bawah sebagai ganti tapak kaki. Idea tersebut mula digunakan sejak 2011 selepas mendapati terdapat luka pada bahagian bawah kaki dan setelah berasa selesa akhirnya saya teruskan guna kapas.

“Tetapi kos untuk membeli kapas agak tinggi kerana ia perlu diganti setiap masa apabila sudah kotor ditambah pula bimbang terkena jangkitan kuman,” katanya.

Menurut Mohammad Arif, pendapatannya yang tidak seberapa menambah keperitan buatnya untuk menampung kos rawatan kakinya yang memerlukan sekurang-kurangnya RM400 sebulan.

“Saya ada dapat RM300 sebagai elaun pekerja OKU daripada JKM tetapi tidak mencukupi kerana saya juga menanggung ibu yang sudah tua.

“Saya mohon, agensi yang berkaitan agar dapat membantu bagi menampung kos kehidupan terutama untuk membeli kapas,” katanya.

Dia berkata, dengan kapas berkenaan barulah dia selesa bergerak, membawa kenderaan dan mampu melakukan pekerjaan.

“Cuma masalahnya, kasut dipakai akan cepat haus dan rosak di bahagian kaki normal berbanding kasut di bahagian kaki mengalami kecacatan.

“Saya sudah biasa dengan kasut lama, jadi hanya menukar sebelah kasut sahaja untuk berjalan sehingga orang kata saya gila kerana pakai kasut sebelah yang berlainan,” katanya.