• Mengemis demi sara tiga anak Warga emas terbabit enggan bangun dari tempat duduknya ketika dihampiri penguat kuasa MPKB-BRI dan pegawai JKM. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
1 / 1
KOTA BHARU- Seorang warga emas yang mengalami masalah penglihatan terpaksa mengemis demi untuk menyara tiga anaknya yang masih bersekolah berusia 7,18 dan 13 di kaki lima pasar Siti Khadijah di sini kelmarin.

Lelaki terbabit yang berusia 69 tahun dan berasal dari Kampung Labok, Machang sanggup menaiki kereta sewa ke Kota Bharu bagi mencari sumber rezeki dengan menjual ubat di samping meminta sedekah walaupun sudah menerima bantuan elaun pekerja cacat sebanyak RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketika dihampiri anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam(MPKB-BRI) dan pegawai JKM dalam operasi bersepadu yang dijalankan semalam, warga emas itu yang duduk di atas tangga di tingkat 1 pasar terbabit, enggan bangun dari tempat duduk berkenaan, malah meronta-ronta untuk dilepaskan selepas menyedari dia dihampiri pihak berkenaan.

“Saya minta tolonglah biarlah saya di sini, senang saya nak ke ke tandas nanti,” katanya.

Namun selepas dipujuk beberapa kali, lelaki berkenaan akhirnya berjaya dibawa anggota penguat kuasa dan pegawai JKM ke dalam lori MPKB-BRI dan akan dibawa ke rumah perlindungan orang tua untuk penempatan sementara sebelum menerima kaunseling dan menjalani tindakan susulan.
Warga emas itu antara empat pengemis yang terdiri dari dua warga tempatan dan dua warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu pengemis dan gelandangan Jabatan JKM dan MPKB-BRI yang diadakan di sekitar pasar terbabit.

Menurut Pegawai JKM Jajahan Kota Bharu, Mohd Khir Omar berkata, dalam operasi berkenaan empat pengemis berjaya ditahan.

“Operasi ini dilakukan bagi membersihkan kawasan sekitar Kota Bharu dari pengemis dan kita akan ambil tindakan susulan terhadap pengemis yang pernah ditahan sama ada melibatkan warga asing dan rakyat tempatan.
“Dalam operasi ini, kita turut menahan dua penerima bantuan bulanan JKM yang masih mengemis walaupun sudah menerima elaun dan kes ini akan disiasat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, sehingga Januari hingga April tahun ini, seramai lima pengemis ditahan dalam operasi bersepadu dan hasil pemantauan yang dilakukan pihaknya berbanding tahun lalu sekitar Januari hingga Disember seramai 18 pengemis ditahan dalam operasi seumpama itu.