Blogroll

Sunday, April 13, 2014

Korban elaun belajar bantu keluarga

Bukit Mertajam: “Saya bersyukur kerana dikurniakan anak soleh dan berharap mereka menjaga suami jika berlaku perkara buruk kepada saya yang semakin uzur,” demikian luahan Zaiton Manoon, 54, yang menderita akibat kanser payu dara sejak dua tahun lalu.

Pasangan itu yang tidak bekerja, kini mengharapkan bantuan daripada anak mereka berusia 17 tahun yang kini belajar di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi Kuala Lumpur, bagi menampung perbelanjaan harian serta kos rawatan.

Zaiton, tinggal di Kampung Kota, Permatang Pauh, di sini, berkata, akibat kanser itu kesihatannya semakin merosot menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan menjaga suaminya Zainol Lin, 63, yang turut mempunyai masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar sejak beberapa tahun lalu.

“Anak kami sanggup berkorban apabila menggunakan sebahagian daripada elaunnya untuk dikirim ke kampung bagi menampung perbelanjaan harian saya yang terpaksa berulang-alik setiap hari ke Klinik Kesihatan Merbau Kudung di Sungai Dua untuk mencuci luka akibat pembedahan payu dara sebelum ini.
“Setiap hari saya belanja RM15 untuk membiayai tambang perjalanan dan bersyukur ada anak sanggup berkorban demi keselesaan orang tua,” katanya.

Katanya, selain menampung perbelanjaan untuk rawatan dia dan suami, wang elaun dikirim anaknya itu juga digunakan untuk membiayai persekolahan anak bongsunya berusia 16 tahun.

Kanser payu dara dihidapinya itu mula dikesan selepas dia menjalani pemeriksaan kesihatan ketika itu doktor mengesahkan jangkitan sel barah di tahap kronik.dan membimbangkan.

“Kesan jangkitan itu menyebabkan sekeliling payu daranya bengkak, bernanah dan semakin mengecil.

Sudah enam kali saya menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah, tetapi ia sekadar untuk mengelak daripada sel berkenaan terus merebak ke bahagian lain.

“Selepas menjalani kemoterapi, badan mula menjadi lenguh dan pergerakan juga terbatas hingga memerlukan bantuan daripada seseorang untuk memimpin,” katanya.

Ketika ditemui Zaiton kelihatan hiba turut berterima kasih kepada jiran tinggal berhampiran kerana banyak membantu dia dan suami.

“Jasa jiran-jiran amat kami hargai kerana mereka banyak menghulurkan bantuan ketika waktu sukar, saya harap selepas ini pihak lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil untuk membantu,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said pada program Doktor Masuk Kampung, semalam membabitkan pelajar dan pensyarah perubatan daripada Allianze College of Medical Sciences (AUCMS), Kepala Batas.

0 comments:

Post a Comment