• Tenggelam bersama jentolak Anggota bomba turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot di sekitar kawasan lombong tersebut.
1 / 1
KAMPAR - Seorang pemandu jentolak dikhuatiri lemas selepas jentera yang digunakan untuk meratakan tanah di Lombong Tapak Projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Air Hitam Labu, di sini semalam, terhumban ke dalam lombong tersebut.

Mangsa, Sri Isa Ngah, 34, dari Kampung Sungai Raia, Simpang Pulai dipercayai sedang meratakan tanah sebelum secara tiba-tiba tebing tanah runtuh sehingga menyebabkan mangsa jatuh bersama-sama jentolak yang dipandunya ke dalam lombong.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar selaku Komander Operasi, Mohamad Yamin Naib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, kira-kira jam 11.32 pagi dan jentera tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

Menurutnya, seramai 15 anggota dari BBP Kampar termasuk Unit Skuba dari BBP Ipoh terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Kami melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa di permukaan air menggunakan dua bot aluminium yang mana satu daripadanya dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Keadaan cuaca ketika sepanjang operasi mencari dan menyelamat adalah baik dan sedikit berangin.

“Sehingga jam 6.15 petang tadi (semalam), unit skuba telah menyelam dan mencari mangsa di sekitar kawasan seluas 1.2 hektar di lombong yang mempunyai kedalaman sembilan meter itu.

“Unit skuba telah menghentikan operasi menyelam dan kini hanya operasi mencari hanya dijalankan di permukaan air yang bagi mengesan jika terdapat tompokan minyak dari jentera tersebut yang mungkin dapat membantu menjejaki mangsa.

“Bagaimanapun, operasi menyelam akan disambung pagi esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mereka akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat serta menempatkan anggota di lokasi kejadian untuk mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Katanya, sehingga jam 7 petang tadi mangsa masih belum ditemui.

Pada perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, selain bomba, pihaknya turut menghantar sembilan anggota untuk memberikan bantuan.

“Selain itu, seramai 17 anggota JPAM dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) turut terbabit dalam operasi tersebut,” katanya.