• Lali dikata kurang waras Minat pelik ini memberikan Abdul Manat kepuasan tersendiri biarpun ada yang menganggap dia gila.
1 / 1
HULU TERENGGANU - Biarpun ada individu menganggap dirinya kurang waras kerana minat mempamerkan barangan lusuh dan menampal pelekat pemantul cahaya di sekitar rumah, namun Abdul Manat Ibrahim, 63, tetap setia dengan hobi peliknya itu.

Dia kini bukan sahaja memiliki 12 kipas siling yang menghiasi persekitaran rumah, malah motosikal miliknya turut diberikan sentuhan dengan caranya tersendiri.

Sinar Harian dua tahun lalu pernah menyiarkan hobi pelik Setiausaha JKKK Paloh Nyior itu dan kerana kepelikan itu, dia ditohmah dengan kata-kata kesat selain dikatakan gila serta kepala masuk air, namun dia hanya mampu tersenyum apabila menerima tanggapan negatif.

Abdul Manat berkata, dia sudah lali dengan tanggapan sedemikian, apatah lagi ia berterusan sejak 10 tahun lalu apabila timbul minat dan ideanya untuk memasang kipas terbuang di halaman rumah.

“Saya langsung tidak kecil hati dengan tanggapan orang yang mengatakan saya gila. Sebaliknya kerana hobi serta minat, semuanya masih bertahan malah koleksi barangan juga kian bertambah.

“Hobi pelik saya ini bukan sekadar memberikan kepuasan tersendiri, tetapi juga memudahkan kenalan mencari lokasi rumah selain membolehkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati kerana kawasan rumah saya berdekatan dengan selekoh," katanya.

Kata Abdul Manat yang juga Setiausaha KRT Paloh Nyior, biarpun hobinya itu agak pelik, namun isteri, Senoh Ismail, 56, dan enam anaknya berusia antara 16 tahun hingga 42 tahun tidak pernah menghalang dia berkreativiti.

“Rumah saya terletak di laluan utama Kampung Matang-Kuala Telemong. Kebanyakan pengguna yang belum mengenali rumah saya, mengandaikan semua barangan lusuh ditampal pelekat pemantul cahaya itu dilakukan individu kurang siuman.

“Bagaimanapun, ia bukan isu besar. Walau apa jua dilemparkan sehingga kini, saya akan terus dengan hobi pelik ini. Bahkan sekarang, motosikal saya yang sering digunakan untuk rondaan, turut dihias dan ditampal pelekat pemantul cahaya,” katanya.