• Lima kenderaan bertembung, dua 
mangsa cedera parah Keadaan motosikal yang terperosok di bawah lori dalam nahas semalam.
1 / 1
PARIT BUNTAR - Lebih 50 pengguna jalan raya di kawasan berhampiran persimpangan lampu isyarat Simpang Lima, di sini terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lebih sejam setelah lima kenderaan bertembung dalam satu kemalangan, pagi semalam.

Kemalangan tersebut membabitkan tiga kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal serta berlaku pada jam 10 pagi itu turut menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar atas bantuan orang awam dan anggota Komuniti Komunikasi Keselamatan Kerian (4K).

Mangsa kejadian yang juga pemandu lori hanya dikenali Zaini berkata, dia dalam perjalanan dari Bagan Serai ke Parit Buntar untuk mengambil muatan sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah bertentangan.

Menurutnya, dia mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna hitam dari arah bertentangan hilang kawalan dan terus merempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada di hadapannya.

“Kesan pelanggaran itu menyebabkan kereta Proton Persona itu berpusing-pusing di tengah jalan sebelum merempuh lori dipandu saya.

“Saya cuba mengelakkan rempuhan itu dengan membelokkan lori ke bahagian bahu jalan, namun terkejut mendapati sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang berada di laluan kecemasan terbabas dan terperosok di bahagian bawah lori,” katanya.

Zaini berkata, kejadian kemalangan itu turut menyebabkan kereta jenis Proton Saga yang tercampak dari laluan asal, bergesel dengan sebuah kereta jenis BMW.

Menurutnya, pada mulanya dia bimbang dengan nasib semua mangsa yang terlibat berikutan keadaan kemalangan amat mengerikan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kesemua mangsa kejadian termasuk penunggang motosikal berada dalam keadaan selamat meskipun kedua-dua pemandu kereta jenis Proton Persona dan Proton Saga dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah.
“Beberapa orang awam termasuk anggota 4K hadir menghulurkan bantuan dan melaporkan kejadian kepada polis dan ambulans.

“Keadaan trafik juga agak sesak disebabkan kejadian itu menjadi tumpuan orang ramai dan hanya selepas sejam barulah polis trafik berjaya mengawal keadaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.