-
Mariam menatap sayu baju Allahyarham Yahya yang menjadi pengubat rindu sejak suaminya itu meninggal dunia enam bulan lalu.
Walaupun terpaksa menjaga suami yang tidak sedarkan diri dalam tempoh cukup panjang, namun kasih sayangnya tidak pernah luntur hinggalah suami tercinta, Yahya Yasin menghembuskan nafas terakhir di usia 69 tahun pada 13 November tahun lalu.
Mariam berkata, suaminya secara tiba-tiba rebah dan mengalami kancing gigi ketika sedang membaca doa selepas selesai mengimamkan solat Maghrib di Surau Kampung Teladas, di sini.
“Pada waktu Maghrib, makcik hanya solat di rumah dan apabila makcik sampai di surau untuk menunaikan solat Isyak, makcik terkejut setelah orang ramai beritahu arwah suami tiba-tiba diserang strok.
“Kemudian, arwah suami dimasukkan ke Hospital Kemaman sebelum dibawa pula ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Arwah terima rawatan di hospital itu selama seminggu sebelum dipindahkan semula ke Hospital Kemaman dan ditahan di wad selama sebulan,” katanya.
Kata Mariam, doktor kemudian membenarkan Allahyarham suaminya dibawa pulang dan dirawat di rumah atas permintaan keluarga.
“Meskipun koma, makcik tak jemu bercakap dengannya walaupun dia hanya terbaring kaku. Makcik bercakap dengannya setiap hari dengan harapan dia buka mata dan kembali sihat. Waktu itu dugaan sangat berat, tapi makcik gagahkan diri sebab kalau makcik tak kuat, macam mana makcik nak beri semangat kepada arwah suami.
“Sebagai pesawah, arwah kerja kuat. Arwah juga ada penyakit darah tinggi dan sudah empat bulan tidak ambil ubat darah tinggi. Jadi mungkin sebab itulah, arwah diserang strok,” katanya ketika dikunjungi di rumahnya di Kampung Teladas, di sini, semalam.
Bagaimanapun, warga emas lima anak itu berkata, dua hari sebelum suaminya meninggal dunia, secara tiba-tiba mata Allahyarham terbuka, namun badan masih kaku dan tiada sebarang respons biarpun badan disentuh.
“Waktu itu juga anak bacakan surah Yasin sehinggalah dada arwah tidak lagi bergerak. Tapi waktu itu, anak makcik tak sedar yang ayahnya sudah meninggal. Makcik ketika itu ingin mandi, tapi makcik sempat jenguk ke arahnya dan lihat dia sudah tidak bernafas lagi.
“Beberapa bulan sebelum itu, makcik mimpi gigi bahagian atas tercabut, selain turut mimpi makcik hilang permata cincin,” katanya.
Bagaimanapun, Mariam bersyukur kerana sepanjang menjaga suaminya, dia turut menerima elaun penjaga pesakit kronik dan OKU terlantar sebanyak RM300 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, bantuan itu banyak meringankan beban untuk membeli lampin pakai buang dan susu sepanjang suaminya terlantar koma.
0 comments:
Post a Comment