Kuala Lumpur: Jumlah kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam
semakin membimbangkan apabila sehingga tempoh Jun 2013, sebanyak 22,165
kes didaftarkan iaitu hampir separuh daripada keseluruhan kes pada 2012.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
(JKSM), keseluruhan pendaftaran kes perceraian pada 2012 iaitu 47,779
berbanding 43,137 kes pada 2011.
Jenis kes itu merangkumi
tuntutan fasakh, tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan perceraian,
tuntutan khuluk atau tebus talak dan permohonan pengesahan cerai
taklik.
Pada 2012, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 9,045
diikuti Johor (5,152), Kelantan (4,577), Kedah (3,602) dan Terengganu
(3,514).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie
Tan Sri Dr Ibrahim Lembut berkata, tujuh perkara menjadi antara sebab
utama berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan Islam di negara ini
iaitu masalah agama atau budaya, seksual, kewujudan pihak ketiga, suami
atau isteri tidak bertanggungjawab, kesihatan, isu sosial atau akhlak
serta ekonomi.
“Berdasarkan kajian, kita dapati masalah ini
menjadi antara faktor penyebab berlakunya perceraian dalam kalangan
pasangan Islam di negara ini,” katanya, di sini, semalam.
Beliau
berkata, terdapat beberapa pendekatan untuk mengelak berlakunya
perceraian antaranya komunikasi dua hala, menerima pasangan seadanya,
mencari orang tengah untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan ilmu
rumah tangga dan keibubapaan, jangan biasakan berbohong, jangan cemburu
berlebihan, hindari kecurangan, tetap mesra serta berdoa dan pasrah
kepada Allah.
“Modul kursus praperkahwinan juga perlu dikaji
keberkesanannya dalam mengekalkan institusi kekeluargaan yang penuh
mawaddah dan rahmah.
“Selain itu, pihak berkuasa juga boleh
mengadakan kursus pasca perkahwinan demi memastikan keharmonian rumah
tangga dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata, Islam tidak
menggalakkan umatnya bercerai kerana kesan negatif kepada pasangan itu
sendiri, anak, keluarga malah masyarakat amnya.
“Amanah dan
tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan pasangan suami isteri dengan
baik serta sempurna jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau
perjanjian bersumberkan iman dan takwa kepada Allah.
“Selagi
pasangan menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan ajaran Islam,
insyaAllah tujuan dan matlamat perkahwinan berkekalan hingga akhir
hayat,” katanya.
Menurutnya, selain itu, apabila seseorang itu
berkahwin, mereka perlu pandai menyesuaikan diri dengan keluarga
pasangan masing-masing bagi memelihara keharmonian rumah tangga.
“Begitu juga bagi pihak keluarga sendiri dan keluarga mentua kerana
mereka perlu menerima hakikat anak mereka sudah berkahwin,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment