Blogroll

Monday, April 14, 2014

Tenggelam lima minit

Johor Bahru: “Dia tenggelam kira-kira lima minit saja dalam kumbahan, tetapi seluruh tubuhnya sudah diselaputi lumpur selain tidak memberi sebarang tindak balas.
“Ketika saya membawanya keluar melalui tingkap van sekolah, tubuhnya lemah berbanding kanak-kanak lain yang terperangkap dalam kenderaan itu,” kata penyelia syarikat swasta Mohd Hanafi Jaafar, 46, yang menyaksikan kejadian, semalam.

Kanak-kanak malang itu Muhammad Azri Aqif Azhar, 4, disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas van sekolah dinaikinya menggelongsor lalu merempuh pagar sebelum terjunam ke dalam kolam kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) berhampiran Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Jalan Pertanian 7, Taman Universiti, di sini.

Seorang lagi kanak-kanak Nur Aima Abd Razak, 5, dilaporkan berada dalam keadaan serius dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
FotoPEMBANTU Tabika Musliza Kasun menunjukkan beg sekolah kanak-kanak terbabit yang diselamatkan.
FotoJENAZAH Muhammad Azri dibawa ke rumahnya di Taman Universiti.
FotoMUHAMMAD Azri

Ketika kejadian, enam kanak-kanak termasuk Muhammad Azri sudah menaiki van sebaik tamat waktu belajar sebelum menggelongsor ke dalam kolam berkenaan.
Empat kanak-kanak terselamat dalam kejadian itu adalah Muhammad Hadif Syauqi Samsol Akamal, 5, Danial Asyraf Abdullah, 5, Danial Aiman Md Gefri, 6 dan Sakinah Roslan, 5.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Hanafi berkata, ketika kejadian jam 12 tengah hari itu, dia sedang berbual dengan rakan berhampiran tabika.

Dia terkejut mendapati van diparkir di depan tabika tiba-tiba mengundur sebelum merempuh pagar kolam kumbahan.

Menurutnya, dia dan lima individu lain di situ termasuk pemandu van itu, seorang wanita berusia 41 tahun cuba menahan kenderaan berkenaan, tetapi gagal.

0 comments:

Post a Comment