Blogroll

Monday, April 14, 2014

Rintihan sayu dalam gelap

Alor Gajah: Seorang pemandu lori menanggung azab hampir dua jam akibat tersepit dalam kemalangan di Kilometer 221.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi, mangsa Daud Kazamad, 47, yang memandu lori 10 tan membawa muatan makanan ringan tersepit sebelum dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat.
Mangsa dari bandar Melaka dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh sebuah bas persiaran membawa 28 penumpang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang dalam perjalanan menghala ke Butterworth, Pulau Pinang.
Saksi kejadian, Zainuddin Said, 39, berkata, dia yang kebetulan tiba di lokasi bersama seorang rakan beberapa minit selepas kemalangan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan dan berlari ke arah lori yang terbabas ke dalam longkang.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya nampak sebuah bas berada di lorong tengah manakala lori berkenaan terbalik dalam longkang sebelah kiri jalan.

Pada masa sama terdengar suara sayu di tempat kejadian namun disebabkan gelap, saya tidak nampak apa-apa.
“Saya bersama rakan kemudian memanjat di atas lori itu sebelum ternampak pemandunya terperosok di dalam kepala lori yang remuk dan tersepit.

Kami cuba membantunya keluar namun gagal kerana mangsa cedera parah,” katanya, semalam.
Menurutnya, melihatkan keadaannya yang parah dan tersepit, dia berusaha menenangkan mangsa sebelum menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk bantuan.
Sementara itu, penumpang bas persiaran Saifullizan Wahab, 35, berkata, dia yang duduk di kerusi paling belakang terjaga selepas terhentak pada kerusi hadapan ketika pemandu bas menekan brek kecemasan menyebabkan semua penumpang menjerit panik.
“Tiba-tiba saya terjaga selepas terhentak pada kerusi menyebabkan semua beg penumpang bergerak ke hadapan dan pada masa sama terdengar semua penumpang menjerit malah ada yang menangis selepas bas kemalangan.
“Saya terdengar pemandu beritahu bas dinaiki terbabit kemalangan dan minta semua penumpang tidak panik sebelum bertanya jika ada sesiapa tercedera.
FotoORANG ramai menenangkan mangsa yang tersepit di dalam lori yang terbalik sementara bantuan penyelamat tiba.

Semua penumpang turun dan berkumpul di lorong kecemasan,” katanya.
Saifullizam berkata, dia bersyukur kerana semua penumpang di dalam bas tidak mengalami kecederaan dan turut bersimpati melihat keadaan pemandu lori yang parah dalam kemalangan berkenaan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Mohd Suhairi Mohd Sufian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 3.37 pagi.
“Seramai 12 pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Rembau dikejarkan ke lokasi kemalangan.
“Bomba yang tiba tidak lama kemudian mendapati pemandu lori masih tersepit antara tempat duduk pemandu dengan papan pemuka menghimpit sebahagian badannya.

Kami mengambil masa mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas bagi merenggangkan papan pemuka lori dan memotong sebahagian komponen kenderaan itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment