• 'Saya pura-pura pengsan' Mohd Sulaiman masih menerima rawatan di wad HUSM, Kubang Kerian.
1 / 1
KOTA BHARU - "Saya nekad tunggang motosikal pulang ke rumah walaupun dalam keadaan berlumuran darah,” kata mangsa serangan beruang di Bukit Hitam, Felda Tenang Hulu Besut, Mohd Sulaiman Jusoh, 58.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang sedang mencari buah kerdas, terserempak dengan  dua ekor haiwan itu, dipercayai ibu dan anak yang sedang mengorek tanah.

Mohd Sulaiman berkata, ketika kejadian, dia berada kira-kira 20 meter dari haiwan tersebut dan tiba-tiba seekor daripadanya menerkam ke arahnya, menyebabkan dia terjatuh.

“Ketika itu saya hanya ingat mati kerana beruang tersebut enggan melepaskan gigitan di kepala saya, menyebabkan kepala saya berdarah, malah mata saya juga turut terkena kuku beruang berkenaan.

“Saya sempat mengucap dan bertakbir beberapa kali sebelum rebah ke tanah. Dalam keadaan kesakitan, saya pura-pura pengsan selepas hampir 20 minit bergelut dan beruang itu melepaskan gigitannya apabila melihat saya tidak bergerak dan melawannya,” katanya kepada pemberita.

Mangsa ditemui ketika mendapatkan rawatan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, semalam.

Mohd Sulaiman berkata, mujurlah dia mampu menunggang motosikal untuk pulang ke rumah sejurus selepas menghubungi isterinya, Rokiah Abas, 50.

“Sampai di rumah, saya hampir pengsan kerana pendarahan yang banyak di kepala dan mata kiri. Saya kemudiannya dibawa menaiki lori Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan susulan,” katanya.

Sementara itu Rokiah berkata, suaminya masih ditahan di wad untuk rawatan dan menurut doktor, penglihatan suaminya masih kabur dan tidak dapat melihat seperti biasa.

“Saya berdoa yang terbaik untuk suami saya kerana kami hanya bekerja sebagai penoreh getah. Kami perlu menyara enam daripada tujuh anak yang masih kecil dan bersekolah. Anak sulung saya sudah berumahtangga.

“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana ia insiden pertama penduduk diserang beruang di kawasan terbabit. Justeru, diharap pihak berkenaan memantau kawasan terbabit bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Mohd Jusoh cedera di mata kiri dan kepala selepas diserang seekor beruang ketika mencari buah kerdas.

Berikutan kejadian itu, mangsa menerima 22 jahitan di kepala dan kening.