Singapura: Seorang peguam yang sering mengendalikan kes berkaitan
nahas udara melahirkan rasa jijik terhadap dakwaan wujudnya sindiket
penipuan yang menjadikan anggota keluarga MH370 sebagai sasaran mereka
dengan menawarkan tuntutan ganti rugi palsu.
Floyd Wisner, dari Chicago, Amerika Syarikat berkata, anggota
keluarga penumpang MH370 melalui hari yang menyedihkan sejak lima minggu
lalu.
“Ia perbuatan sangat memalukan kerana ada pihak cuba mengambil
kesempatan terhadap mereka yang berada dalam keadaan emosi tidak menentu
dan saya berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap perakara
ini.
“Anggota keluarga MH370 melalui lima minggu yang
membuatkan mereka merana daripada percanggahan maklumat dan kekeliruan,
peguam yang membuat tuntutan tidak munasabah dan sekarang penipu cuba
melarikan wang mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan mengenai penyebaran e-mel
palsu yang didakwa dari Penerbangan Malaysia (MAS) kepada anggota
keluarga penumpang meminta mereka menghubungi bank untuk menguruskan
tuntutan ganti rugi.
Bagaimanapun, e-mel itu dilaporkan meminta caj pentadbiran
sebelum tuntutan ganti rugi itu diluluskan.
Wisner berkata,
anggota keluarga penumpang MH370 diminta perlu berhati-hati kerana tidak
ada sebarang caj dikenakan untuk tuntutan yang sah dan mereka perlu
mendapatkan nasihat daripada peguam yang profesional dan berpengalaman
supaya hak mereka terjamin.
Beliau turut mendedahkan sudah
bercakap dengan beberapa anggota keluarga penumpang MH370 yang membentuk
persatuan untuk mewakili mereka dan berbincang tuntutan secara
kumpulan.
Pesawat MH370 membawa 227 penumpang termasuk dua bayi
dan 12 anak kapal hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing,
sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) pada 8 Mac lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment